Derhaka Pada Agong: Pembatalan Ordinan Darurat Tanpa Bahas Di Parlimen, PM Perlu Berundur

SHAH ALAM, 30 Julai – Merujuk kepada kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wanita UMNO Negeri Selangor kesal dengan tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang derhaka dengan tidak mematuhi perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membentangkan ordinan darurat bagi dibahaskan dan diluluskan oleh sidang Parlimen yang bermula pada 26 Julai yang lalu.

Kata Ketuanya, Datuk Rosni Sohar, tindakan membelakangkan titah YDPA ini tidak pernah berlaku di dalam mana-mana sejarah pentadbiran negara yang patuh dan hormat kepada institusi beraja sebelum ini.

“Kegagalan pentadbiran kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas retak menanti belah ini tidak dapat dibendung lagi bila mana keengkaran dan pelanggaran mengikuti titah YDPA berkenaan pembatalan Ordinan Darurat jelas mencemar kedaulatan undang-undang serta menimbulkan krisis Perlembagaan Persekutuan,” kata Setiausaha Wanita UMNO Malaysia itu dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, dalam keadaan rakyat yang amat tertekan dengan ujian pandemik ini, Perdana Menteri hanya menambah bebanan dengan keputusan yang menimbulkan kecelaruan dan menjadikan rakyat dalam keadaan gusar.

“Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang didesak untuk mengambil tanggungjawab agar berundur bagi memberi ruang kepada pemimpin yang lebih patuh dan taat kepada sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” kata Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam.

Tegas Rosni, demi keamanan dan kesejahteraan negara, Wanita UMNO Selangor mendesak Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang meletakkan jawatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.