Tipu Darurat: Kerajaan Biadap Elok Diturunkan Segera – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara pada hari ini memperlihatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah murka dengan pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan Ordinan Darurat, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Jelasnya, titah Baginda yang mahukan supaya Ordinan Darurat dibentang dan dibahas di Parlimen sebelum ditarik balik juga tidak dilaksanakan dan ia merupakan satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dimaafkan.

Katanya, hal ini amat mendukacitakan Seri Paduka Baginda kerana seolah-olah menidakkan fungsi dan peranan sebenar Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong.

“Kedudukan Yang di-Pertuan Agong seperti mana ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan dan kuasa untuk memperkenan dengan pelaksanaan dan penamatan Ordinan-Ordinan Darurat seperti Proklamasi Darurat.

“Tindakan mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat dengan mengenepikan Yang di-Pertuan Agong bukan saja satu penderhakaan, malah tindakan tersebut boleh dianggap biadap terhadap Baginda sebagai Ketua Institusi Raja-Raja Melayu.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini, di mana Yang di-Pertuan Agong diketepikan daripada peranan yang sepatutnya. Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempersembahkan hasil mesyuarat Kabinet kepada Istana Negara adalah satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan kerana ianya telah berlaku berulang kali kejadian mengetepikan peranan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kangsar menjelaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri merupakan individu yang patut dipertanggungjawabkan terhadap setiap keputusan Kabinetnya dan amat wajar bagi beliau untuk menanggung segala kesan kebiadaban ini sehingga mencetuskan krisis perlembagaan.

“Mungkin tanpa perlu memberikan pelbagai alasan yang tidak dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka saya sarankan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah segera melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai bertanggungjawaban beliau di atas kekhilafan ini,”tegasnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.