PM Wajar Letak Jawatan, Ahli Parlimen UMNO Perlu Tarik Semula Sokongan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Exco Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berpandangan tindakan Kerajaan jelas mencabar dan menolak prinsip kedaulatan undang-undang dan membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaku Ketua Utama Negara.

Menurut beliau tindakan Kerajaan merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan penderhakaan ini patut dikenakan hukuman berat.

“Sejarah hitam  dalam politik Malaysia. Tidak pernah berlaku semenjak Merdeka. Gempar Sidang Dewan Parlimen apabila Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menzahirkan rasa amat dukacita melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan 6 Ordinan Darurat sebelum dipersembahkan kepada YDPA.

“Kekeliruan dan ternyata penipuan di Dewan Rakyat termasuk sengaja ingkar dan melanggar Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong. YDPA secara jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan pengundian sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi tindakan Kerajaan jelas mencabar dan menolak prinsip kedaulatan undang-undang dan membelakangi fungsi dan kuasa YDPA selaku Ketua Utama Negara.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri ingin mengelak daripada pengundian semasa Sidang Parlimen kerana tidak cukup sokongan.Jika sedar tidak cukup sokongan Ahli Parlimen, Perdana Menteri patut letak jawatan secara terhormat dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan terhadap YDPA.

“Ahli Parlimen UMNO seramai 38 orang wajar menarik semula sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri. Imej UMNO tidak perlu diheret dalam krisis antara Kerajaan PN dan YDPA.

“Parti keramat UMNO wajib mempertahan dan memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan menjadi tiang seri kepada asas perjuangan UMNO,” tambahnya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.