PM Dan Menteri Undang-Undang Perlu Bertanggungjawab – Sharkar

TEMERLOH, 29 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini yang menzahirkan rasa sangat dukacita Seri Paduka Baginda dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan yang mana pembatalan belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Exco Kerajaan Negeri Pahang itu juga amat sedih dengan tindakan kerajaan berhubung perkara tersebut yang mana ia adalah tidak berparlimen, tidak berperlembagaan dan juga telah meletakkan kedudukan mulia institusi Diraja pada kedudukan yang tidak sewajarnya.

“Soalnya ketika ini adalah dukacita Seri Paduka Baginda atas keputusan kerajaan membatalkan Ordinan-ordinan Darurat tanpa perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

“Isu asal, kenyataan Menteri Undang-Undang pada 26 Julai 2021 bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 tidak betul kerana belum diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu berkata adalah amat wajar bagi Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memohon keampunan dan menzahirkan kekesalan di atas kesilapan tersebut. Seperti yang dinyatakan juga sebelum ini oleh Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang,

“Atau cari jalan yang terbaik bagi merungkaikan kemelut politik Malaysia yang tidak berkesudahan, agar kita dapat tumpukan kepada isu COVID-19 dan ekonomi yang semakin tenat,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.