Pemuda UMNO Sabah Kesal, Pencabulan Perlembagaan Negara, – Ir Aziz

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pemuda UMNO Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata pihaknya amat kesal berhubung tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh  Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam siri muslihat politik berkaitan ordinan darurat.

Menurut beliau titah YDPA amat mudah iaitu meminta agar Ordinan-Ordinan Darurat 2021 dibentangkan di parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan namun sehingga kini, kerajaan PN masih gagal menuruti titah YDPA untuk membentangkan ordinan-ordinan tersebut di parlimen, sehingga ianya kelihatan seperti satu penderhakaan dan penghinaan terhadap Ketua Utama Negara.

“Sehubungan dengan itu, kenyataan  Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang) yang secara wewenangnya mengendahkan titah YDPA pada 24hb Julai 2021 lalu untuk membentang dan membahas ordinan tersebut telah tidak dilaksanakan, malah dengan bongkaknya (Takiyuddin) menyatakan bahawa semua Ordinan Darurat telah dibatalkan walaupun tanpa perkenan YDPA. Ini adalah satu pencabulan perlembagaan negara.

“Muslihat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tersebut telah mengundang kemurkaan YDPA sehingga baginda telah menzahirkan perasaan amat dukacitanya melalui kenyataan pada awal hari ini. Justeru, Pemuda UMNO Sabah menuntut agar Perdana Menteri segera meletak jawatan sebagai satu tanggungjawab moral kerana gagal menghayati prinsip rukun negara yakni ‘Kesetiaan Kepada Raja & Negara’ dan ‘Keluhuran Perlembagaan’.

“Selain daripada itu, Pemuda UMNO Sabah, selari dengan asas serta  tujuan penubuhan UMNO mengikut Fasal 3 perlembagaannya;

  1. Mendesak agar ahli-ahli Parlimen UMNO untuk segera menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional; dan
  2. Mendesak Menteri-Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC/GLIC UMNO untuk mendukung titah YDPA dengan meletak jawatan secara serta merta dan jangan lagi berkompromi dengan Kerajaan yang telah durhaka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, tuntutan dan desakan ini dibuat kerana mengambil kira kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat yang sedang risau akan nasib dan untung mereka kerana kegagalan kerajaan menyakinkan mereka tentang ‘What is next?’

“Kepada Allah SWT kita berserah dan berdoa agar Malaysia akan senantiasa dalam lindungan-Nya dan wabak COVID-19 dapat dibendung dengan segera,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.