Proklamasi Darurat Gagal Capai Objektif, Tiba-tiba Tamat… Kerajaan Perlu Jelaskan – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan berharap agar jawapan yang diberi oleh kerajaan bukanlah satu jawapan yang retorik sebaliknya penjelasan perlu dibuat secara terperinci berkaitan proklamasi Darurat di negara yang dikatakan telah tamat.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata sejak dari awal lagi sememangnya tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan Proklamasi Darurat kerana ia hanya menyekat sesi semak dan imbang dalam setiap keputusan yang diambil Kerajaan dalam ketika negara sedang mendepani cabaran akibat daripada pandemik COVID-19.

“Selepas beberapa bulan Darurat dilaksanakan kebimbangan Pergerakan Pemuda UMNO ada asasnya kes COVID-19 langsung tidak menurun, malah semakin meningkat berkali ganda semasa dalam tempoh Darurat. Di dalam keadaan Darurat juga sistem kesihatan negara menjadi semakin kronik, hospital-hospital Kerajaan tidak lagi mampu untuk menampung pesakit-pesakit COVID-19 yang jumlahnya semakin meningkat.

“Benar… Kerajaan ada menyediakan pelbagai pakej-pakej rangsangan namun ia tidak cukup malah tidak memberi impak yang tinggi kepada ekonomi rakyat dan negara. Sebaliknya pakej-pakej rangsangan itu hanya bersifat populis dan langsung tidak realistik dengan keadaan semasa yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Paling membimbangkan angka rakyat yang hilang pekerjaan makin berlambak, maka, muncullah pelbagai kempen yang digerakkan sendiri oleh rakyat antaranya ‘bendera putih’. Itu adalah gerakan rakyat yang mati akal untuk meneruskan kehidupan harian mereka. Malangnya… inisiatif rakyat ini bukannya mendapat perhatian Kerajaan tetapi dihina pula, malah mereka memperlekehkan pula usaha rakyat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Zaidy, kesemua perkara-perkara yang dinyatakan itu berlaku ketika dalam tempoh Darurat dilaksanakan. Ketika kerajaan mengumumkan Darurat pelbagai alasan diberikan untuk membendung pandemik COVID-19 ketika ini.

“Ternyata ia hanyalah alasan… Darurat yang dilaksanakan Kerajaan ternyata ‘gagal’ mencapai objektifnya. Sebaliknya, ia makin memburukkan lagi keadaan. Ini menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa proklamasi Darurat itu sebenarnya adalah untuk melindungi Kerajaan dan Perdana Menteri untuk terus berkuasa, betul atau tidak tetapi itulah persepsi rakyat ketika ini,” jelasnya.

Ujar Zaidy, Persidangan Parlimen paling dinanti-nantikan tetapi disebabkan kekerasan, Kerajaan telah melengah-lengahkan persidangan Parlimen ini walaupun dititah berkali-berkali oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Benarlah seperti dijangka, sidang Parlimen kali ini berlangsung dalam suasana yang penuh dengan kejutan. Paling mengejutkan adalah pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan bahawa Kerajaan telah mengambil keputusan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat dan keputusan itu dibuat pada 21 Julai lalu.

“Pengumuman ini adalah amat mengejutkan kerana penamatan Ordinan Darurat yang sebenarnya telah dibuat lima hari sebelum diumumkan kepada rakyat dan Dewan Rakyat. Tindakan ini jelas merupakan satu penghinaan kepada Dewan Rakyat yang merupakan ‘the august house’ iaitu berada dalam kedudukan yang istimewa di dalam sistem pentadbiran Negara,” katanya lagi.

Persoalannya dengan pengumuman tersebut mengenai status kompaun yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada rakyat selepas daripada tarikh 21 Julai itu?

“Adakah ia tidak lagi dikuatkuaskan? Atau dalam erti kata mudah, bolehkah rakyat membakul sampahkan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selepas daripada tarikh itu?

“Kita juga bimbang bahawa Kerajaan mengenepikan undang-undang negara apabila pengumuman penamatan Ordinan Darurat tidak bersandarkan panduan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dalam membuat sesuatu keputusan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia adalah satu kesalahan besar kerana bakal menjadi rujukan di masa akan datang atau menjadi precedent kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Ujarnya lagi, rakyat kecewa kerana Kerajaan telah melafazkan sumpah setia untuk mendokong Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankannya dalam setiap keputusan serta tindakan yang diambil. Apatah lagi Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.

“Tak apalah kami akan tetap bersabar untuk menunggu Menteri bertangunggjawab untuk menjawab persoalan yang diberi bila tiba gilirannya di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada Isnin depan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.