Dilema Kedaulatan Undang-Undang: Krisis Perlembagaan Membimbangkan Kestabilan Malaysia – Aizat Azam

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Aizat Azam berpandangan, Ordinan Darurat tidak boleh dianggap telahpun dibatalkan selagi tiada penjelasan daripada Kabinet, Ordinan-Ordinan Darurat tersebut masih sah dan berkuatkuasa.

Katanya, sekarang bukanlah masa untuk mana-mana pihak mempolitikkan isu tersebut kerana ia adalah amat penting di masa sekarang dan rakyat berhak tahu sama ada mereka masih tertakluk kepada Ordinan-Ordinan tersebut ataupun tidak.

“Negara ini perlu tahu sama ada Ordinan-Ordinan Darurat masih berkuatkuasa ke atas semua rakyat. Perkara ini sudah semestinya tidak boleh disembunyikan daripada rakyat dan Kerajaan seharusnya lebih telus dalam perkara ini. Kerajaan harus menghormati prinsip ‘rule of law’ lebih-lebih lagi dalam isu yang penting seperti ini bagi mengelakkan sebarang krisis perlembagaan dan menjamin kestabilan negara.

“Dalam tempoh ini juga mana-mana pihak seharusnya tidak wajar meneruskan polemik menimbulkan kesangsian kerana perkara ini akan memberi kesan besar terhadap kestabilan pemerintahan negara dan pada masa yang sama. Kerajaan perlu segera memberi penjelasan yang menyeluruh dan terperinci mengenai perkara ini.

“Ketelusan Kerajaan dalam isu ini, kini dalam perhatian seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, persoalan penting yang timbul di sini adalah sama ada Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun dibatalkan secara sah mengikut peruntukan undang-undang sepertimana yang telah persoalkan. Sekiranya ia tidak dilakukan maka pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut adalah tidak sah.

Dalam erti kata lain, kata Aizat lagi, Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan wajib dibentangkan dengan segera di persidangan Parlimen apabila Parlimen bersidang melainkan ia telahpun dibatalkan terlebih dahulu.

Dalam hal ini beliau merujuk peruntukan Perkara 150 (3), apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang merungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

“Namun, sehingga kini tiada kenyataan yang dibuat berkenaan sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh pihak Istana Negara. Malah, kerajaan hanya mengeluarkan kenyataan tersebut semasa Persidangan Khas Parlimen apabila Kabinet diasak untuk membentangkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut kepada Dewan dengan segera.

“Berdasarkan pada kenyataan tersebut, Ordinan-Ordinan Darurat telahpun dibatalkan pada 21 Julai dan sekiranya ianya benar, persoalan-persoalan yang telah saya utarakan semestinya telahpun dilakukan selewat-lewatnya pada 21 Julai,” katanya lagi.

Ujar Aizat, dari sudut undang-undang, kenyataan tersebut menimbulkan banyak persoalan penting yang mana, antara lainnya adalah seperti berikut:
a) Bilakah Kabinet memutuskan untuk menasihati YDPA untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?
b) Sama ada Kabinet telahpun secara efektifnya menasihati YDPA untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut dan sekiranya ya, bilakah nasihat tersebut diberi kepada YDPA?
c) Sama ada YDPA telahpun menerima nasihat Kabinet tersebut untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, dan sekiranya ya, bilakah YDPA berkenan sedemikian?
d) Sama ada pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun digazet mengikut peruntukan undang-undang? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.