Kesinambungan PPN, Perincian Langkah Pemulihan Ekonomi Semasa RMK-12, Belanjawan 2022

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kerajaan akan mengumumkan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memperincikan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata RMK-12 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September 2021 manakala Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021.

“Saya juga ingin maklumkan, Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan atau Recovery, Resilience, Reform.

“Sehubungan ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri-menteri pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan juga buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Belanjawan termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.

“Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah Portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna,” katanya.

Menyedari situasi rakyat semasa keadaan yang sukar, Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan telah melaksanakan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat.

“Bermula dengan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kemudiannya PRIHATIN PKS Tambahan dan diikuti dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), KITA PRIHATIN, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA Tambahan dan terkini pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan RM530 bilion.

“Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk satu tujuan murni iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Kerajaan menurut Muhyiddin telah membenarkan moratorium pinjaman bank selama 12 bulan, enam bulan pada tahun lepas dan enam bulan lagi melalui pengumuman pakej PEMULIH baru-baru ini.

“Kerajaan juga meneruskan pemberian diskaun bil elektrik dan subsidi minyak masak dan minyak petrol untuk manfaat rakyat.

“Di samping itu, pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran turut dilaksanakan sebagai persediaan dalam meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya lagi.

Manakala khusus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Perdana Menteri berkata kerajaan telah bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,000 yang akan dibayar masing-masing sebanyak RM500 pada September dan November tahun ini.

Selain itu, bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan PKS, beliau berkata kerajaan turut menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 bagi pembelian sistem atau langganan platform digital melalui program ‘SME Digitalisation Grant’.

Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, beliau berkata kerajaan akan meningkatkan had siling jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM20 bilion.

“Bank Negara Malaysia juga komited untuk menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS dengan menambah dana pinjaman mudah bagi PKS sebanyak RM4 bilion lagi untuk tahun 2021.

“Setakat hujung bulan Jun 2021, masih terdapat baki keseluruhan dana pembiayaan PKS berjumlah RM8.6 bilion untuk dimanfaatkan oleh PKS,” katanya.

Di bawah pakej PEMULIH, Muhyiddin berkata PKS juga boleh mendapatkan kemudahan mikrokredit sehingga RM1.1 bilion yang disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah RM500 juta dan TEKUN sebanyak RM100 juta.

Justeru, beliau mengharapkan dana-dana ini dapat memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam menggerakkan semula perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi di bawah PPN.

Muhyiddin berkata kesemua pakej-pakej rangsangan ini sebahagiannya telah dan akan dibiayai menggunakan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).

“Penubuhan KWC-19 adalah berlandaskan perundangan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830] yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan yang mulia ini.

“Pelaksanaan kesemua pakej ini telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan setakat ini. Lebih RM200 bilion telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.