Harapnya Dapat Peluang Lagi, Bawa Tuntutan Rakyat… Lima Minit Tadi Terlalu Singkat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan mengharapkan beliau berkesempatan untuk sekali lagi memberikan cadangan untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi persidangan Dewan Rakyat yang bersambung esok.

Katanya, sebenar tadi beliau hanya sempat memberikan 32 cadangan yang hanya dibacakan beliau dalam tempoh lima minit.

“Hanya lima minit dibenar berucap di Dewan Rakyat untuk saya ulas PPN. Terlalu singkat saya perlu paling kurang 50 minit untuk menghurai dan beri pencelahan.

“Harapnya dapat diberi peluang lagi esok, Rabu, Khamis dan Isnin. Sebelum ini masa 22 bulan kita pembangkang, saya pernah berucap dan membahas kesemua sekali kementerian yang ada.

“Ketika itu tak ramai yang nak berucap. Rupanya enam belas ahli Parlimen yang senyap itu melompat ke Bersatu dan satu ke Warisan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Setiausaha Agung UMNO itu pada persidangan sebentar tadi memberikan beberapa rangka cadangan kepada kerajaan termasuk menyegerakan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) lebih awal daripada bulan September.

“Diharapkan juga kerajaan meluluskan kedua-dua kategori penerima meluluskan kedua-dua kategori penerima BKC, Bantuan Prihatin Rakyat dan penerima Geran Khas Prihatin tanpa terlalu banyak halangan dan syarat.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri wajar mengemas kini data terkini rakyat yang terjejas pandemik COVID-19 ramai rakyat terutama golongan M40 telah jatuh kepada B40 sejak awal tahun ini.

“Benarkan akses kepada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan,” katanya ketika sesi persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang.

Cadangan yang dimaklumkan beliau itu juga merupakan 10 perkara yang dituntut oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.