Darurat Tidak Disambung, Enam Ordinan Darurat Turut Dibatalkan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.

Memaklumkan di dalam Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini, beliau berkata perkara itu telah diputuskan pada 21 Julai lalu dan mengesahkan kerajaan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos.

Beliau juga memaklumkan kepada Dewan Rakyat, bahawa kerajaan akan membatalkan semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa darurat diisytiharkan.

“Kerajaan juga telah membuat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) untuk membatalkan kesemua Ordinan Darurat yang dibuat semasa Proklamasi Darurat.

“Oleh kerana telah dibatalkan, maka isu ungkai sudah tidak lagi relevan,” katanya kepada para wakil rakyat.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen mesti membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

Menurutnya ketetapan itu berpandukan kepada beberapa asas-asas seperti penolakan rakyat yang UMNO wakili terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani pandemik COVID-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen dan memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan.

Dalam pada itu, tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat hari ini panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.

Keadaan berterusan dengan beberapa wakil rakyat pembangkang lain turut berdiri meminta penjelasan daripada Azhar Azizan.

Bagaimanapun ketika Azhar Azizan mula memberi penjelasan terhadap semua perkara dibangkitkan wakil rakyat pembangkang, kekecohan berlaku sehingga memaksa beliau mengarahkan semua Ahli Parlimen supaya duduk dan diam.

“Kamu bawa Peraturan Mesyuarat tetapi kamu sendiri tak ikut Peraturan Mesyuarat. Kalau saya bercakap, semua kena diam.

“Oleh kerana Yang Berhormat semua tak nak dengar apa yang saya nak cakap, saya nak beritahu bahawa saya tidak bersetuju dengan apa Yang Berhormat semua cakap tadi,” katanya. – BNNEWSONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.