Sidang Khas Parlimen: Kita Dah Cuba Darurat Maka Cubalah Demokrasi Semula – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula esok tidak memenuhi harapan untuk suatu persidangan lengkap dan pelbagai komentar menyifatkannya mirip kepada sesi taklimat.

Namun katanya, itu tidak bermaksud ia perlu dibiarkan begitu sahaja.

“Natijahnya, dalam situasi segala kelemahan cabang eksekutif, sidang khas Parlimen esok mula mengembalikan peranan legislatif, walaupun terhad.

“Fokus rakyat dan negara tentunya masih tertumpu kepada pengurusan pandemik, dan beransur beralih ke pemikiran bagaimana hidup bersama pendemik.

“Dalam hal ini, baik dari sudut ekonomi atau kesihatan, prosedur dan tindakan kerajaan telah banyak dikritik dengan begitu hebat sekali, maka, berilah peluang kepada wakil rakyat yang menang dipilih oleh rakyat untuk jalankan tugas mereka menyumbang kepada pembetulan dan penambahbaikan,” katanya kepada media berkaitan hal terbabit yang dimuatnaik dalam laman facebooknya.

Katanya yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, taklimat jangan kosong, mesti terperinci dan berkualiti.

“Kemudian izinkan ia dicabar oleh Ahli Parlimen. Kita dah cuba darurat maka cubalah demokrasi semula.”

Jelasnya, di sebalik segala kekurangan persidangan kali ini, kualiti taklimat menteri dan perbahasan dari Ahli Parlimen wajar menjadi perhatian.

Berikut Shahril sertakan beberapa aspek utama:

1. Penjelasan Mesra Rakyat Berkenaan Status Pakej-pakej Bantuan
Kita sedia maklum LAKSANA di bawah MOF memantau status pelaksanaan. Ahli-ahli Parlimen wajar diberi penjelasan penuh bukan sekadar berapa banyak yang telah dibelanjakan, tetapi berapa ramai penerima berbanding berapa ramai yang memerlukan.

Angka peratusan misalnya, lebih tepat berbanding angka berapa juta atau bilion yang tiada ertinya tanpa konteks. Apatah lagi, pemerhatian di lapangan amat jelas menunjukkan terlalu ramai rakyat yang masih merana dan terpaksa bergantung harap kepada sumbangan bukan kerajaan.

2. Bila Paralihan Fasa 1 ke 2 PPN
Kalau melihat pengumuman asal, negara hendak beralih fasa 1 ke 2 PPN, katanya ada tiga syarat. Pertama, purata kes harian 4,000. Kedua, penggunaan katil ICU pada tahap sederhana. Ketiga, vaksinasi 10%. Melihat ini, hanya satu sahaja syarat yang telah dipenuhi.

Kelmarin Menteri Kewangan memberi bayangan nilai-nilai ambang ini boleh diubah. Sebaiknya ia dimaklumkan kepada Parlimen dan dihebahkan awal supaya boleh disemak dan dibahas Ahli Yang Berhormat.

Untuk jelas, saya tidak mencadangkan beralih ke fasa 2 dengan terburu-buru terutamanya tatkala negara mencatat angka jangkitan yang tertinggi hari.

Namun, lockdown berpanjangan tidak lagi menjadi konsensus mutlak di seluruh dunia. Maka persiapan untuk “hidup bersama virus” seperti kata Timbalan Presiden UMNO, mesti dibuat awal. Ke arah itu, sebarang perubahan kepada garismasa peralihan fasa 2 wajar dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat untuk semakan dan perbahasan.

3. Kriteria Industri Yang Boleh Beroperasi
Selain nilai ambang dan garismasa peralihan, apakah pengisian sebenar aktiviti fasa 2? Kalau ikut pengumuman PPN asal, dalam fasa 1 dan 2, penentuan aktiviti yang diizinkan adalah menggunakan “senarai positif”. Maknanya, semua tak boleh melainkan dikatakan boleh.

Namun, kita saksikan sekarang pertikaian sudah lama timbul tentang syarikat mana, kilang mana yang dibenarkan beroperasi. Bermakna, kriteria itu sendiri longgar dan dilihat longgar.

Sidang Parlimen medan terbaik mengubah kelemahan ini. Mesti ada penjelasan kriteria apa menentukan industri atau sektor apa yang dibolehkan. Bukan lagi kenyataan umum seperti “sektor essential” – umpama ungkapan berongga atau “hollow statement” kerana tiada persetujuan apa definisi “essential”.

Bayangan awal dan dengan tahap spesifikasi yang secukupnya boleh membantu persiapan industri dan aktiviti untuk bersedia. Sekali lagi, kembalikan fungsi Parlimen dan elak pengumuman saat akhir.

4. SOP Fasa 2 PPN
Setelah penentuan aktiviti apa yang diizinkan, taklimat juga mesti memberi kemaskini tentang prosedur operasi di fasa 2.

Contohnya, ada Task Force Greater Klang Valley yang ditugaskan untuk mewujudkan “gelembung selamat” di tempat kerja. Apakah perincian “bubble” tersebut?

Kerajaan negeri Pahang menampilkan contoh tindakan proaktif iaitu sedang memperinci prosedur menjadikan Bukit Fraser sebagai perintis kepada pembukaan sektor pelancongan di negeri itu. Kerajaan pusat wajar mengambil iktibar dan lebih kehadapan melaksana perkara serupa dengan menggariskan prosedur lebih khusus.

Kita juga dimaklumkan bahawa mereka yang telah lengkap divaksinasi akan diberi kelonggaran. Kelonggaran macam mana?
Perincian jelas dan mudah faham mesti diterangkan sewaktu sidang Parlimen supaya boleh ditegur atau ditambahbaik oleh wakil rakyat.

5. Penjelasan Garismasa Program Imunisasi Kebangsaan (PICK)
Maklumat ini sentiasa dikemaskini dalam kenyataan dan sidang media KKM dan JKJAV. Tidak boleh dinafikan pencapaian PICK semakin maju dengan komunikasinya yang baik malah bulan ini sahaja telah melepasi beberapa sasaran.

Namun, sidang Parlimen adalah medan terbaik untuk melibaturus semua Ahli Parlimen yang mempunyai peluang dan akses untuk membantu menambahbaik operasi di PPV dan meningkatkan kadar pendaftaran vaksinasi.

Kita sedia maklum di beberapa negeri kadar pendaftaran masih rendah. Sabah 38.4%. Kelantan 60%. Terengganu 74.2% Kedah 75.5%.

Kerjasama Kerajaan pusat dan negeri adalah kritikal ke arah penambahbaikan. Tidak kurang juga peranan Ahli-ahli Parlimen di kawasan-kawasan tertentu.

Misalnya, Operasi Lonjakan Kapasiti di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan angka vaksinasi meningkat mendadak. Contoh lain, PPV bergerak di Lipis (antara paling awal di Malaysia) yang mampu menjadi “template” lebih sesuai untuk kawasan-kawasan luar bandar.

Bolehkah contoh-contoh ini direplikasi di negeri-negeri lain sesegera mungkin dengan kerjasama Kerajaan negeri dan Ahli-ahli Parlimen, sekaligus dijadikan contoh bagaimana merentasi perbezaan politik kepartian untuk mencapai dan melepasi ssaran PICK secepat mungkin? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.