PKPD Di Beberapa Lokaliti Di Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur Mulai Ahad Ini – TPM

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lagi lokaliti di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur bermula Ahad ini hingga 7 Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah sidang khas Majlis Keselamatan Negara meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Menerusi kenyataan hari ini beliau berkata kawasan terlibat di Sabah ialah di Kampung Kolam, Kudat; Taman Sabana Fasa 1 Keningau; Kampung Berhala Darat dan Kampung Melayu Bumiputra, Sandakan serta di Kampung Nagapas, Jalan Kebun Lama, Papar.

Enam lokaliti di Kota Kinabalu pula yang dikenakan PKPD ialah di Taman Sepanggar; Blok D & E, Apartment Angkasa; Bandar Sinsuran; Kampung Sepakat Jaya; Kampung Rampayan dan Kampung Lokub.

Sementara itu di Sarawak, ia melibatkan lokaliti di Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 & 2, Dalat, Mukah; manakala di ibu negara melibatkan Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Blok 11 & 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri berkata menerusi Op Benteng, 29 pendatang tanpa izin ditangkap, manakala tujuh lagi diusir keluar melalui dua aktiviti pengusiran dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

Menerusi pemeriksaan dijalankan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan pula, 66 premis meliputi 16 kilang, premis perniagaan (49) dan satu tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Semalam, 577 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 542 individu dikompaun manakala 35 lagi direman,” katanya.

“Empat premis dikompaun dan satu diberi amaran kerana tidak patuh SOP menerusi Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.