Kes Harian COVID-19 Dijangka 24,000 Pada September, Kenapa Sekolah Dibuka Pada Bulan Yang Sama? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoal strategi yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkenaan pembukaan sekolah pada 1 September yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Katanya ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa tahap kemuncak penularan COVID-19 diramal berlaku pada pertengahan September dengan 24,000 kes sehari.

“Ini menimbulkan persoalan cara kerajaan PN berfungsi seolah-olah kurang komunikasi dan tiada sinergi antara kementerian.

“Sepatutnya Menteri Pendidikan umum sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan bermula 1 September berdasarkan ramalan Kementerian Kesihatan Malaysia kecuali jika ramalan itu tersasar.

“Guru dan kakitangan sudahkah mendapat vaksin penuh? Murid sekolah masih belum divaksin dan perkara itu juga masih menimbulkan polemik sehingga hari ini. Sebab itu rakyat terus keliru dengan pentadbiran kerajaan hari ini. Apabila disuarakan di media sosial penyokong mereka tuduh kita hanya tahu buat bising dan merungut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) lagi, sedangkan sidang Parlimen juga tidak dibuka meskipun ahli-ahli Parlimen telah sepenuhnya mendapat suntikan vaksin.

“Sebagaimana memperhalusi begitu mendalam berkaitan keselamatan, kesihatan dan lain-lain kepada ahli Parlimen untuk bertugas, begitu jugalah harus difikirkan kepada nasib rakyat dan negara.

“Sebab itu sidang Parlimen sangat penting diadakan sekarang supaya isu seperti ini dapat diperhalusi secara rasmi.

“Tetapi dalam erti kata sidang Parlimen yang sebenarnya. Bukan sidang Parlimen suam-suam kuku atau separuh masak,” ujar beliau.

Ahmad Zahid melalui hantaran yang sama juga turut memetik terjemahan daripada Surah Ali `Imran ayat 159 dan Ash-Shuraa ayat 38 untuk diambil sebagai pengajaran.

Surah Ali `Imran, ayat 159: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah Bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Ash-Shuraa ayat 38: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara Bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.