Azalina Cadang Peguam Negara Hadir Sidang Khas Parlimen


KUALA LUMPUR, 21 Julai – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun disaran hadir pada sidang khas Parlimen bermula Isnin ini bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen berkenaan ordinan yang diwartakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Proklamasi Darurat.

Saranan itu dikemukakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, berikutan tugas Peguam Negara bukan saja sebagai penasihat perundangan kepada Jemaah Menteri, tetapi juga kepada Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebaiknya, Peguam Negara perlu turut sertai dalam sidang khas itu. Ramai Ahli Parlimen ada persoalan yang belum terjawab. Peguam Negara bukan saja penasihat perundangan kepada Jemaah Menteri tetapi juga penasihat kepada Agong, yang bersama-sama Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membentuk Parlimen.

“Pada masa ini, mengikut undang-undang, Peguam Negara tidak perlu menjawab secara langsung kepada Parlimen. Maka siapa yang akan mengabsahkan rasional ordinan-ordinan yang diisytiharkan ketika darurat?

“Untuk memadamkan keraguan terhadap risiko konflik kepentingan dalam tindakan Peguam Negara, mana-mana Peguam Negara perlu diberi hak untuk didengar sendiri di Parlimen dan bukannya melalui pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menggesa supaya lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen diwujudkan dan peruntukan diberi bagi membolehkan sebahagian besar Ahli Parlimen dilibatkan dalam membincangkan segala keputusan kerajaan dan menteri sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

“Ramai masih ragu-ragu bagaimana sidang khas selama lima hari dapat memberi kesan bermakna dalam memastikan Kabinet dapat bertanggungjawab atas tindakan mereka selama tujuh bulan terakhir ini.

“Terdapat 88 Ahli Parlimen yang bukan ahli jawatankuasa Parlimen. Kita harus memberikan peranan kepada Ahli Parlimen ini, jadi semua Ahli Parlimen dapat terbabit dengan baik dalam menangani COVID-19 nasional,” katanya.

Beliau berkata, di tengah ketidaktentuan politik ini, cara terbaik kerajaan memastikan kestabilan politik adalah dengan membabitkan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan segala permasalahan secara kolektif menerusi kerangka parlimen.

Dalam pada itu, Azalina juga menggesa kerajaan segera mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi membolehkan institusi itu diberi autonomi, sementara kakitangan kerajaan sedia ada masih boleh mengendalikan urusan harian Parlimen.

Sidang khas akan berlangsung pada Isnin ini sehingga 2 Ogos sebelum sesi penuh Dewan Rakyat yang bermula pada 6 September depan. – BHOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.