Selamat Hari Raya Aidiladha, Bersama Kita Berdoa Dan Bermunajat Bersungguh-Sungguh
Syukur Alhamdulillah, hari ini seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.
Walaupun dalam keadaan pandemik yang mencecah lima angka di negara ini.
Bersama kita berdoa dan bermunajat dengan bersungguh-sungguh supaya semuanya kembali pulih seperti biasa.
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Rabbmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina“.
(Surah Ghafir ayat 60)
Aidiladha walau masih terpaksa disambut dalam keadaan norma baharu, paling penting semangat dan mesej di sebalik sambutan itu.
Ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah S.W.T
Serta kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Yang Maha Esa.
Apa yang diperintahkan itu namun semata-mata ujian ketaqwaan melaksanakan amanat dan suruhan Allah S.W.T.
Nabi Ismail yang diperintahkan untuk dikorbankan akhirnya telah digantikan dengan seekor kibas oleh Allah S.W.T.
Betapa besar kekuasaan dan iradat Allah S.W.T. “Kun Fayakun” (“Jadilah, maka jadilah…”)
Maka sebagai umat Islam kita perlu mengambil semangat dan mesej serta pengajaran di sebalik kisah itu.
Kita perlu beriman dan meletakkan keyakinan penuh kepada Allah S.W.T dalam setiap perkara yang ditempuhi hidup ini.
Dalam urusan peribadi, pekerjaan, perniagaan, rumah tangga, perhubungan sesama manusia dan segala-galanya.
Insya-Allah dengan ketaqwaan yang tinggi, Allah S.W.T akan memberi ganjaran di kemudian hari walau betapa berat ujian menimpa.
Bagaimanapun haruslah selepas melakukan segala usaha dan daya upaya dalam berdepan ujian itu.
Kita tidak dapat melaksanakan apa yang lazim kita laksanakan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha.
Tetapi bersabarlah dan meletakkan kepercayaan bahawa keadaan ini akan dapat dipulihkan dengan izinNya.
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: ”Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk pencipta sekalian alam.”
(Surah Al-An’am :162)
Presiden UMNO
Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi