Selangor, KL Kekal Fasa 1 PPN – TPM

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Selangor dan Kuala Lumpur kekal dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun kerajaan telah mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim dan lokaliti di dua negeri terbabit semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai namun kes COVID-19 masih tinggi dan tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kritikal.

“Nilai ambang tiga indikator utama di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dicapai sebelum beralih ke Fasa Dua,” menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan PPN dan PKPD hari ini.

PKPD di 34 mukim di Selangor dan sembilan lokaliti di Kuala Lumpur, yang bermula 3 Julai lepas, ditamatkan semalam setelah kerajaan meneliti pembentangan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata selepas ini PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti yang merekodkan trend peningkatan kes COVID-19 mendadak.

Ismail Sabri turut mengulangi bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang kerap tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN dan tidak akan teragak-agak menutup operasi premis atau kilang mereka serta-merta.

Beliau berkata sebanyak 2,239 kilang, 14,551 premis perniagaan, 793 tapak pembinaan dan 293 asrama penempatan pekerja turut diperiksa semalam dan hasilnya, sebanyak 64 premis diarah tutup kerana gagal patuh SOP ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri meminta pekerja melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutama kilang-kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata Op Patuh juga akan dipergiat bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis perniagaan dan kilang serta meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan pekerja sentiasa dijaga sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Sabah melibatkan Pangsapuri Seri Maju di Kota Kinabalu dan Kampung Tinusa 2 di Sandakan serta dua lokaliti di Tawau iaitu QL Farm Breeder di Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari.

Empat lokaliti di Rembau, Negeri Sembilan turut dikenakan PKPD iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas.

PKPD di Sarawak pula membabitkan Kampung Garung di Kuching dan Kampung Pasir Hilir di Lundu manakala di Pahang melibatkan Pos Iskandar di Bera dan Kuala Medang di Lipis.

Lanjutan PKPD pula dilaksanakan di tiga lokaliti di Kuala Muda, Kedah iaitu Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK).

PKPD turut dilanjutkan di Taman Zifa, Bingkul, Beaufort dan Kampung Simpangan, Kota Marudu di Sabah serta Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa di Pasir Puteh, Kelantan.

Kesemua pelaksanaan PKPD dan lanjutan terbabit bermula 19 Julai hingga 1 Ogos ini.

Sementara itu, seramai 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PPN semalam dan daripada jumlah itu, 408 dikompaun dan 25 lagi direman manakala 39 pendatang tanpa izin pula ditangkap dengan empat kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.