UMNO Wajib Bertunjangkan Kepentingan Negara Dan Kesejahteraan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa menjadi pemimpin UMNO menggalas tanggungjawab yang besar bukan sahaja kepada parti dan ahli, tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.

Malah katanya, pemimpin UMNO bertanggungjawab kepada seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Bertanggungjawab melindungi, mengawasi, membela rakyat serta kemakmuran Malaysia.

“Justeru pemimpin UMNO berkewajiban memastikan UMNO kekal di landasan rakyat dan negara serta membentengi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Semua amanah itu perlu dipikul oleh seluruh pemimpin UMNO dalam apa jua keadaan di setiap masa dan tempat,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegasnya, pemimpin UMNO tidak boleh mengalah dan berundur daripada fikrah ini.

“Dipikul barisan pimpinan UMNO yang setia kepada sahsiah perjuangan parti.

“Dalam keadaan sukar dan genting ketika ini UMNO adalah suara denyut nadi rakyat.”

Ujarnya, pimpinan UMNO tidak boleh benarkan parti terbesar ini mengorbankan pedomannya hanya kerana ditekan supaya terus bergayut kepada yang sedang berkuasa.

“UMNO wajib bertunjangkan kepentingan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.