Cuti Semester: Pelajar Diminta Jalani Ujian COVID-19 Di Klinik Kesihatan- MB Perak

IPOH, 16 Julai – Pelajar institut penganjian tinggi (IPT) yang pulang ke rumah masing-masing di Perak sempena cuti semester mulai minggu ini diminta tampil membuat ujian saringan COVID-19 secara percuma di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pelajar terbabit dinasihatkan supaya melakukan pengasingan kendiri di rumah selama 14 hari bagi mereka yang pulang dari kawasan Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka) manakala 10 hari dari negeri lain.

“Kerajaan Negeri Perak mengambil maklum mengenai keputusan Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai minggu ini.

“Sehubungan itu, sebagai langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 terutamanya dari Lembah Klang, anak-anak Perak yang sudah atau akan pulang ke rumah masing-masing diminta tampil membuat ujian saringan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memudahkan pemantauan, para pelajar juga diminta mengisi butiran dan maklumat diri melalui pautan https://forms.gle/h6s4aH8bSYk2fKjs8 dan mereka yang mengalami tanda atau gejala jangkitan COVID-19 diminta segera mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

“Saya memahami keinginan anak-anak Perak untuk pulang bertemu dengan keluarga, namun langkah-langkah pencegahan ini mesti kita lakukan demi mengelakkan sebarang risiko jangkitan yang bukan sahaja boleh mengancam kesihatan diri sendiri, malah ahli-ahli keluarga lain,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian Hotline COVID-19 di talian 05- 2410252/0107 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat sekiranya terapat sebarang pertanyaan lanjut.

Pada 9 Julai lepas, KPT dalam kenyataan memaklumkan pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai 12 Julai dan mekanisme kawalan pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa iaitu bagi fasa permulaan, hanya pergerakan pelajar yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.