Bandingkan Kes Dengan Negara Jiran Tanpa Nisbah Populasi Bukan Sesuatu Yang Patut Dibanggakan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdoa agar semua rakyat Malaysia terselamat daripada pandemik COVID-19.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga merasa sedih pilu memikirkan hampir 7,000 rakyat Malaysia yang tidak bersalah telah terkorban di mana kini kes jangkitan harian telah mencecah lebih 13,000 manakala ramai sedang dirawat di dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia yang sempurna akal fikirannya sedang berasa kecewa. Tetapi kerajaan PN (Perikatan Nasional) seolah-olah masih mahu memberi bayangan kepada rakyat supaya jangan bimbang, jangan percaya pandangan bahawa kerajaan PN telah gagal menangani pandemik COVID-19.

“Sebabnya negara jiran Indonesia mencatat 56,757 kes positif. Thailand merekodkan 9,186 kes. Tetapi yang tidak disebut populasi Indonesia lebih 270 juta orang. Thailand hampir 70 juta orang.

“Malaysia cuma kira-kira 32 juta. Jika berdasarkan nisbah ini bukan sesuatu yang patut dibanggakan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook mala mini.

Bidas Ahmad Zahid lagi, jika pada kadar itu pun dianggap bukan kegagalan bermakna negara berdepan risiko yang amat besar.

“Kerana kita tidak tahu berapa banyak lagi angka maut dan dijangkiti baru boleh dianggap gagal. Nyawa rakyat janganlah kita jadikan percaturan. Setiap jiwa insan adalah berharga.

“Angka 7,000, 8,000 mahupun 100,000 memang mudah disebut untuk menutupi kegagalan. Tetapi di sebalik setiap angka itu ada ayah, ibu, anak, adik, abang, kakak, isteri, suami meratap kesedihan,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Justeru, Ahmad Zahid memohon kepada Yang Maha Esa menyelamatkan rakyat dan negara dari ancaman pandemik tersebut.

“Ya Allah. Aku memohon kepadaMu kau selamatkan rakyat dan negara Malaysia.

“Bantulah usaha kami untuk mengubah dan memperbaiki kegagalan itu.

“KepadaMu jua kami berserah selepas segala daya upaya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.