Saya Hantar 10 Tuntutan Rakyat, Bukan Suruh Kerajaan Cetak Wang

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Ketua Armada PPBM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyindirnya bertemu Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga selaku Naib Presiden UMNO.

“Sekurang-kurangnya saya hantar 10 Tuntutan Rakyat untuk Tambah Baik Pakej Bantuan Rakyat yang sedang menderita untuk diselesaikan segera oleh kerajaan, bukannya suruh kerajaan cetak wang kertas ataupun hantar surat sokongan minta projek! Tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Antara 10 tuntutan adalah segerakan Bantuan Khas Covid, permudahkan proses permohonan dan rayuan tanpa kerenah birokrasi, penentuan had pendapatan berdasarkan data terkini, tambah baik i-Citra, penawaran moratorium tanpa kenakan faedah terakru, perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan dan bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil.

Berhubung dengan isu cetak wang, Wan Fayhsal ketika bercakap dengan sebuah radio pada hujung tahun lalu menyarankan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Manakala isu surat sokongan projek adalah janji Wan Fayhsal ketika berkempen Ketua Armada di mana tular rakaman video menunjukkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berjanji menggunakan jawatannya bagi mengeluarkan surat sokongan sebagai pertukaran mendapatkan undi.

Dalam perkembangan yang berkaitan isu COVID-19, dalam satu hantaran terbaharu Dr Asyraf melahirkan perasaan kesal kerana secara senyap-senyap pasaraya juga mulai dibuka.

Ulasnya, kes yang sudah melangkaui 9,180 kelmarin sepatutnya menjadi ‘wake up call’ kepada kerajaan untuk menilai semula pendekatan ‘total lockdown’ yang diisyitiharkan sebelum ini.

“Setelah 40 hari berlalu, apakah rakyat wajar dipaksa berkurung secara sia-sia sedangkan kilang-kilang dibuka walaupun data membuktikan kluster kilang antara yang terbesar penyumbang covid,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.