Gagal Patuh SOP: 52 Premis Termasuk Kilang Dan Tapak Pembinaan Diarah Tutup – TPM

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 52 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, sewaktu pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, semalam.

Menurutnya, semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 85,123 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara meliputi pemeriksaan ke atas 2,226 kilang; 14,916 premis perniagaan; 1,005 tapak pembinaan dan 321 asrama penempatan pekerja.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya yang juga Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Selain itu, beliau berkata 417 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 408 individu dikompaun manakala sembilan direman atas pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, seorang pendatang asing ditangkap dalam Op Benteng semalam, selain masing-masing dua kenderaan darat dan bot atau kapal dirampas.

Berhubung dengan PKPD, ia akan dilaksana di lima lokaliti di Sabah, termasuk tiga di Kota Kinabalu bermula 12 hingga 25 Julai ini.

“Kota Kinabalu, lokaliti terlibat ialah Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, manakala dua lokaliti lain ialah QL Farm, Membalua, Tawau dan Kampung Pikat, Bongawan, Papar.

“PKPD di lokaliti Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 25 Julai.

“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya lagi.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera seterusnya berkata PKPD di enam lokaliti di Kuala Lumpur melibatkan Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Kampung Puah, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1), akan ditamatkan esok, lebih awal daripada dijadualkan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.