Desak PM Berundur Dikatanya Menderhaka? Propaganda Terdesak ‘Spin’ Tahap Tertinggi

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kadar R-naught iaitu kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada 9 Julai 2021 telah mencapai 1.11 dan sangat tinggi walaupun selepas pelaksanaan ‘Total Lockdown’, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malah lebih tinggi berbanding kadar 1.07 pada 1 Jun 2021 apabila PKP bermula dan kadar jangkitan juga tidak menurun malah mencecah kes harian lebih 9,000.

Begitu juga dengan kes kematian, jangkitan aktif dan kluster aktif kekal pada paras mendukacitakan dan ekonomi masih merundum serta bantuan diumumkan untuk rakyat tidak memadai.

Maka berdasarkan senario yang berlaku, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa tidak benar tindakan UMNO desak Perdana Menteri berundur kononnya sebagai menderhaka.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook, dakwaan yang dilemparkan itu adalah propaganda terdesak yang diperkatakan sebagai “spin tahap tertinggi”.

“Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah pada 16 Jun perlu dibaca secara inklusif. Tidak wajar diambil sekerat-sekerat untuk dijadikan mekanisme mempertahankan kepentingan diri.

“Terdapat beberapa perkara dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah pada 16 Jun. Keputusan UMNO pada 7 Julai adalah dengan mengambil pertimbangan keseluruhan titah tersebut. Selepas menilai keadaan ekonomi, kesengsaraan hidup rakyat dan risiko masa depan negara,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, parti UMNO perlu terus bersama rakyat dan negara.

“UMNO menjunjung tinggi kedaulatan institusi diraja,” katanya. – UMNO ONLINE