Lepasi Dulu Peringkat Kumpulan, Nasihat Reezal Kepada Kem Badminton

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memberi kata-kata semangat kepada skuad badminton negara, supaya jangan risau dengan laluan berliku undian Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebaliknya fokus untuk melepasi peringkat kumpulan dahulu.

Beliau berkata, apabila beraksi di pentas Olimpik pelbagai kemungkinan boleh berlaku, sekali gus tidak bererti peluang menjadi malap apabila diundi dalam kumpulan ‘maut’, atau diundi bersama pemain-pemain ranking lebih tinggi.

“Bukan sahaja beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terima undian sukar, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut diundi bersama pilihan nombor dua dari Indonesia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dan Choi Solgyu-Seo Seungjae dari Korea Selatan (serta pasangan Kanada Jason Anthony Ho-Shue/Nyl Yakura dalam Kumpulan D).

“Lee Zii Jia juga berdepan Brice Leverdez, yang pernah mengejutkan Datuk Lee Chong Wei (pada pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017), tak boleh ambil mudah dalam keadaan mana sekali pun,” katanya selepas meninjau latihan skuad olahraga ke Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Mini MSN di sini, hari ini.

Reezal Merican meminta, barisan pemain negara untuk meneruskan kerja keras dan latihan mereka, selain meminta pemegang taruh yang terlibat untuk melakukan analisa mengenai undian itu, dengan harapan kem badminton kekal sebagai penyumbang utama pingat di pentas Olimpik nanti.

Menurut undian yang dijalankan malam tadi, juara All England 2021, Zii Jia diundi dalam Kumpulan M bersama-sama Brice dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine, serta bakal bertemu juara bertahan Chen Long dalam aksi kalah mati pertama.

Pemenang pingat perak beregu campuran Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying berada dalam kumpulan maut bersama pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019, dan pilihan kedua dari China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, Mark Lamfuss-Isabel Hettrich (Jerman) dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong) dalam Kumpulan D.

Mengulas mengenai penangguhan Sukan SEA Hanoi ke tahun depan, Reezal Merican berkata pihaknya menganggap perkara itu sebagai ‘blessing in disguise’ bagi atlet negara, untuk lebih bersedia menghadapi temasya berkenaan, selepas lebih setahun terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Kita anggap ini satu peluang untuk tingkatkan latihan bagi atlet Program Podium, yang tidak dapat menyertai kejohanan luar. Mungkin ini peluang buat Majlis Sukan Negara atur semula perancangan latihan dan atlet kita, selain bantu atlet meningkatkan catatan peribadi terbaik dan ranking mereka,” katanya.

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), yang bermesyuarat secara maya semalam, bersetuju untuk menangguhkan Sukan SEA ke-31, yang dijadual berlangsung bermula 21 Nov hingga 2 Dis ini di Hanoi, ke tahun depan berikutan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Reezal Merican berharap skuad olahraga yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik, untuk melakar sejarah tersendiri di temasya berkenaan, sama ada merangkul pingat, memecahkan rekod kebangsaan, memperbaiki catatan peribadi atau meningkatkan ranking mereka.

“Mereka lalui cabaran kerana sukar sertai kejohanan bagi dapatkan pendedahan kompetitif, macam Lee Hup Wei tak dapat menyertai mana-mana kejohanan melainkan di Kazakhstan bulan lalu, selainnya hanya latihan. Bukan mudah, tapi mereka tunjukkan kesungguhan, harap beliau catat pencapaian lebih baik.

“Bagi skuad olahraga, apa pun, sasarkan untuk menang pingat. Kita ada tiga pemenang pingat emas dalam Paralimpik, kita mahu kelakkannya dan berpotensi untuk menang beberapa pingat lagi,” katanya.

Malaysia akan diwakili dua atlet dalam acara olahraga di Tokyo 2020 yang bakal berlangsung bermula 30 Julai hingga 8 Ogos, iaitu Hup Wei bagi acara lompat tinggi lelaki dan Azreen Nabila Alias dalam acara 100m wanita.

Reezal Merican berkata, bagi Sukan Paralimpik yang dijadual bermula 24 Ogos hingga 5 Sept, lima atlet olahraga para telah layak termasuk juara bertahan Mohd Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi acara lelaki 100 meter T36 (kategori cerebral palsy), dan Abdul Latif Romli untuk acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran), manakala empat lagi menunggu pengesahan kelayakan. – BERNAMA