Tanggungjawab Parti Keramat UMNO Membela Nasib Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Julai – “Saya dan UMNO terlalu risaukan mereka. Sebab itu kami kerap menegur saling mengingatkan,” demikian luahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata beliau, ini kerana sememangnya tanggungjawab parti keramat UMNO ini di dalam membela nasib rakyat.

“Sesungguhnya masa itu tidak dapat kita putarkan kembali. Jangan pula kita menjadi dalam golongan manusia yang sentiasa dalam kerugian.

“Hanya mereka yang beriman dan beramal soleh, sentiasa ‘Berpesan-pesan kepada kebenaran, berpesan-pesan kepada kesabaran’. Surah Al-Asr ayat 1 – 3,” jelas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menasihatkan segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan untuk berhenti membuat pelbagai spekulasi dan khabar angin yang menambahkan lagi dosa.

“Jangan ditambah dosa kering, dosa yang ada pun tidak terkira banyaknya, ibarat buih-buih dilautan banyaknya.

“Bersamalah kita perbanyakkan bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” ujar beliau.

Beliau berkata andaian demi andaian sebagai senjata menyerang bukan pengubat stress namun hati yang tenang dan damai paling mujarab.

“Begitu jua saya menguruskan dalam sesuatu perkara. Insya-Allah dalam ketenangan ada hikmah dan bijaksana.

“Yang pasti UMNO tetap dipertahankan. Yang pasti UMNO terus bangkit. Yang pasti rakyat dan negara jadi keutamaan. Walau ditekan, dihenyak, dipalu, tiada sesalan demi UMNO. Demi sebuah perjuangan. Demi rakyat dan negara. Kepada Allah jualah kita berserah dan bertawakal.

“Jangan terlalu ikutkan hati dan perasaan gelabah menyerang itu dan ini. Nasihat saya tenang-tenang sahaja. Dalam hidup perlu bertenang jika kurang bertenang boleh stress. Kalau stress terjejas kesihatan,” katanya.

Ahmad Zahid juga mengingatkan agar memperbanyakkan beristighfar mengingati Allah SWT dan perbanyak selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar rakyat dan negara sentiasa dikasihi.

“Mak Cik Kiah dan Pak Saleh pun bertenang sahaja walau dapur lama kosong tidak berasap.

“Meskipun dalam hati mereka tiada siapa yang tahu. Hanya Yang Maha Esa lagi Maha Mengerti, Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.