Pemuda UMNO Gesa Kerajaan Fahami Derita Rakyat Termasuk Yang Paling Teruk Terkesan

KUALA LUMPUR, 6 Julai – “Fahamilah bahawa keluhan dan rintihan rakyat di bawah hari ini adalah benar bukan sekadar retorik atau sandiwara persepsi yang cuba dimainkan oleh segelintir pihak yang sudah ‘mati rasa’.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan bahawa Pemuda UMNO secara konsisten bangkitkan isu moratorium dan i-Sinar untuk ditambah baik bukan ‘saja-saja’.

Tetapi jelas Dr Asyraf Wajdi, realitinya rakyat di bawah amat susah, tertekan dan terdesak.

“Begitu juga realitinya rakyat tidak tuntut moratorium jika mereka tidak dalam keadaan tertekan dan terdesak. Bahkan ikut statistik polis, kebanyakan kes-kes bunuh sepanjang PKP disebabkan tekanan kewangan termasuklah hutang pinjaman bank. Saya bagi contoh mereka yang status M40 yang bekerja di bandar.

“Ramai yang hilang pekerjaan, atau tidak dapat keluar berniaga sebagaimana biasa, namun komitmen bulanan tetap kena bayar. Malah komitmen kumpulan ini kadangkala jauh lebih besar daripada golongan B40, bak kata pepatah ‘besar periuk besarlah keraknya’,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman facebooknya, hari ini.

Dalam hal ini beliau berkongsi contoh satu situasi sebenar yang banyak dikongsikan kepada Pemuda UMNO melalui ratusan mesej peribadi yang diterima setiap hari iaitu:

Bahar (bukan nama sebenar) bekerja di syarikat swasta dengan pendapatan bulanan = RM4,500 /sebulan
Farah (bukan nama sebenar) bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerajaan = RM1250/sebulan
Jumlah pendapatan isi-rumah adalah 5,750 sebulan sekaligus menjadikan Bahar dan Farah dengan anak 3 orang termasuk kategori M40.
Komitmen bulanan seperti di bawah:
Bayaran hutang beli/sewa rumah: RM1,300
Bayaran hutang kereta (myvi) suami: RM600
Bayaran hutang kereta (Honda city) isteri: RM800
Total komitmen: RM2700

“Ini belum lagi belanja dapur (minyak masak pun dah RM34 untuk 5kg), bayaran pengasuh anak, pampers, susu, bil-bil termasuk internet dan utiliti yang naik mendadak akibat banyak di rumah dan anak mengikuti PdPR.

“Apabila berlakunya PKP yang tiada berkesudahan, majikan Bahar terpaksa kenakan cuti tanpa gaji kerana syarikat tak dapat beroperasi.”

Ujarnya, bayangkan berbulan-bulan tiada gaji, macam mana golongan senasib dengan Bahar ini tidak tertekan, sedangkan sebelum ini merekalah yang paling banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sebab itulah apabila Kerajaan pun tak dapat membantu melalui suntikan fiskal dengan memperbanyakkan bantuan tunai, golongan M40 yang selalunya tercicir daripada pelbagai bantuan BPR, BPN dan terbaru BKC terpaksa bergantung kepada simpanan dan tentunya harapan menggunung tinggi untuk menggunakan tabung kecemasan iaitu KWSP.”

Sebab itulah tegas Dr Asyraf Wajdi lagi, Pemuda UMNO tidak ada pilihan untuk terus perjuangkan isu Moratorium, i-Sinar/i-Citra ini kerana setiap hari ratusan mesej yang berkongsi derita seperti ini diterima.

Pada akhir kenyataannya beliau turut menyertakan tanda pagar #TuntutanRakyat , #PemudaJurubicaraRakyat , #PemudaBantuRakyat dan #BNTradisiMembelaRakyat . – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.