PdPR Perlukan Modul Menyeluruh Antara Pelajar Bandar Dan Luar Bandar – Norshida

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Wanita UMNO berpandangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika fasa pandemik yang krikital ini memerlukan modul yang lebih menyeluruh dan perlu di seimbangkan dengan keadaan masyarakat luar bandar di mana mereka mungkin akan tercicir jauh berbanding pelajar di bandar.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata ia perlu dibangunkan oleh tenaga pakar bidang pendidikan, psikologi dan teknologi maklumat berdasarkan jurang perbezaan dari keputusan peperiksaan yang kita telah lihat pada peperiksaan STPM dan SPM 2020 sebelum ini.

“Pada 1 Julai 2021 yang lalu kita semua telah mendapat makluman bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 meningkat tipis hanya 0.01 peratus dari pencapaian tahun 2019.

“Sungguhpun Negara Malaysia menghadapi krisis ekonomi dan rakyat pula berhadapan pelbagai masalah termasuk yang hilang punca pendapatan dan punca rezeki, namun semangat para pelajar yang mengambil peperiksaan STPM terus berusaha gigih untuk memastikan masa depan terus terjamin walau pun sesi persekolahan di sekolah telah di tukarkan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, seramai 741 calon memperoleh PNGK 4.0 berbanding 804 calon pada tahun sebelumnya.Daripada jumlah itu, seramai 554 calon (STPM 2020) yang mendapat PNGK 4.0 adalah daripada keluarga B40.Pencapaian calon bandar juga masih mengatasi calon luar bandar daripada keseluruhan PNGK,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, daripada keputusan tersebut, didapati Kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberi penekanan terhadap sistem PdPR bagi pelajar luar bandar.

“Selain itu ia perlu juga mengambil kira pandangan mereka yang terbabit bermula dengan murid, guru dan ibu bapa. Kesemua maklum balas ini perlu dijadikan asas pembangunan modul PdPR supaya ia menjadi lebih fokus dan sampai kepada kepada kelompok yang disasarkan sama ada murid sekolah rendah, menengah atau pelajar pusat pengajian tinggi.

“Pembinaan modul PdPR ini perlu dibuat bagi memastikan ia relevan dengan perkembangan teknologi digital semasa supaya kualiti pembelajaran walaupun dibuat di rumah dapat ditambah baik.PdPR jika tidak diurus dengan baik dibimbangi meningkatkan jurang pencapaian pendidikan antara pelajar khususnya antara kumpulan kaya dan miskin, juga antara pelajar di bandar dan pedalaman.

“KPM harus teliti bukan sahaja isu akses dan keberkesanan platform PdPR sama ada mahu menggunakan dalam talian atau hibrid, tetapi juga isu seni menyampaikan pengajaran atau pedagogi PdPR secara berkesan,” ujarnya.

Ujar beliau lagi apabila bercakap soal jurang pendidikan, jangan kita lupa isu sekolah daif dan selepas 63 tahun merdeka masih ada lebih 600 sekolah daif di negara ini dan beratus lagi kekurangan prasarana serta kemudahan pembelajaran.

Tambahnya lagi banyak sekolah di pedalaman tiada kemudahan elektrik dan masih menggunakan jana kuasa. Isu sekolah daif dan sekolah kurang kemudahan masih kritikal dan belum dapat diselesaikan. Ini antara punca utama mewujudkan jurang pendidikan.

“Akhir sekali, saya berharap jika PdPR jtidak diimbangi antara pelajar di bandar dan pedalaman akan menghasilkan jurang pencapaian pendidikan sangat besar. Bimbang nanti selesai dengan masalah COVID-19, kita berhadapan pula dengan ‘pandemik pendidikan PdPR’ bila jurang pendidikan semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar atau kumpulan pelajar kaya dengan pelajar miskin,” jelasnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.