Operasi Penguatkuasaan Kebun Durian Di Hutan Simpan Ikut Undang-Undang – MB

KUANTAN, 6 Julai – Operasi penguatkuasaan di kebun durian Musang King yang didakwa berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata operasi itu telah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Pahang selain telah dipastikan tidak melibatkan kawasan kebun yang menjadi subjek dalam kes yang belum diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Untuk rekod, 2,167 hektar tanah di sekitar Raub yang didakwa ditanam Musang King menjadi subjek dalam kes mahkamah yang belum selesai antara 110 pekebun dengan enam pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

“Operasi penguatkuasaan melibatkan kawasan seluas 101.17 hektar di HSK Batu Talam yang bermula sejak Sabtu lepas dan dijangka selesai pada 2 Ogos ini adalah penguatkuasaan biasa tetapi mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat kepada pegawai dan kakitangan penguat kuasa.

“Saya berharap (operasi) ini tidak dijadikan isu perkauman kerana tindakan penguatkuasaan pernah dilakukan di beberapa kawasan lain sebelum ini seperti Sungai Ichat dan Lembah Bertam di Cameron Highlands serta Kechau, Lipis,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah melakukan operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands melibatkan penerokaan tanah secara haram bagi penanaman sayur dan bunga manakala penerokaan tanah di Lipis melibatkan aktiviti perlombongan emas.

Wan Rosdy berkata operasi di Raub itu merupakan operasi bersepadu Jabatan Perhutanan Pahang dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang dengan kerjasama polis, juga melibatkan penahanan mereka yang menceroboh HSK Batu Talam dan sitaan barangan atau kenderaan yang digunakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.