Menteri Kewangan Jangan Buat Kenyataan Angkuh, Bidas Zahida

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ia satu kenyataan sangat-sangat angkuh daripada orang kerajaan yang berkewajipan menjaga kesejahteraan rakyat, walaupun Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru menyatakan bahawa moratorium kepada semua akan diberikan di bawah pelan rangsangan kerajaan baru-baru ini.

Demikian bidas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan respon kepada satu laporan mengenai kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata “Walaupun kerajaan boleh, tidak semestinya kerajaan perlu memberi moratorium ini.”

“Adakah ini akan menjadi keputusan rasmi kerajaan dan membuat ‘U-turn’ daripada sebelumnya?

“Walaupun keputusan flip-flop sudah menjadi kebiasaan kepada mereka, tapi kita tetap berharap kepada moratorium ini, termasuk kepada golongan T20 yang juga teruk terjejas.

“Tengku Zafrul menyatakan 80% daripada peminjam tidak memerlukan moratorium ini. Alhamdullillah jika benar. Kita meminta moratorium diberi kepada semua tanpa syarat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Zahida, tidak mengapa kepada mereka yang tidak memerlukan moratorium dengan diberi pilihan terus membayar pinjaman mereka seperti biasa.

“Bank-bank tidak akan rugi sesen pun. Segala hutang-hutang tertunggak tetap terakru dalam akaun mereka, cuma kutipan dilanjutkan kepada masa hadapan.

“BNM (Bank Negara Malaysia) boleh menolong bank-bank terlibat dengan menggubal peraturan-peraturan baru mengambil kira moratorium ini di dalam pengkiraan ‘non performing accounts’ agar keuntungan bank tidak terjejas,” katanya.

Seterusnya ulas Zahida lagi, tanpa Tengku Zafrul, kebanyakan rakyat tahu bahawa kerajaan boleh memaksa bank-bank di negara ini memberi moratorium kepada semua.

“Tetapi mengapa mesti kita ada seorang Menteri Kewangan yang berfikiran begini bahawa “kerajaan tidak semestinya” mengikut kehendak rakyat (yang meminta) dengan memberi moratorium?

“Sudah-sudahlah dengan keputusan yang sudah dibuat dan ‘U-turn’ oleh menteri-menteri bawahan. PM mengumumkan sesuatu dan kemudian menteri-menteri bawahan beliau boleh menyanggah pula keputusan itu kemudian.

“Tidakkah perkara sebegini penting tidak dibincangkan terlebih dahulu? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.