Parlimen Secara Hibrid : Noh Secara Peribadi Tidak Setuju, Lontarkan Persoalan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar secara peribadi menyatakan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan pendekatan Parlimen yang mungkin diadakan secara hibrid.

Menurutnya beliau mendapat maklumat kemungkinan sidang Parlimen akan dibuat secara langkah berkenaan dan beliau memberikan beberapa faktor terhadap pendirian tersebut.

“Saya dapat maklumat kemungkinan sidang Parlimen akan buat secara hibrid. Saya sebagai Ahli Parlimen secara peribadi tidak bersetuju dengan pendekatan ini atas beberapa faktor.

“Sidang Parlimen adalah satu sesi perbahasan dalam sesuatu isu dan ada ketikanya Ahli Parlimen yang lain boleh bangun dan meminta penjelasan atas apa yang dibahaskan oleh Ahli Parlimen lain atau semasa Menteri sedang menjawab. Adakah bersidang secara hibrid ini memboleh Ahli Parlimen mencelah untuk dapatkan penjelasan?

“Keduanya setiap Ahli Parlimen mempunyai imuniti ketika berbahas di Dewan Rakyat. Bermaksud, apa yang disebut ketika perbahasan tidak boleh didakwa di luar Parlimen. Adakah imuniti ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen apabila mereka berbahas di luar Dewan Rakyat secara online ?

“Seterusnya adakah kerajaan tidak yakin dengan keberkesanan dos vaksin? Kalau kerajaan kurang yakin dengan vaksin sedia ada, kenapa tidak Ahli Parlimen diberikan dos ketiga dan setiap Ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian PCR setiap minggu di sebalik setiap dua minggu seperti pada sidang yang lepas,” katanya menerusi catatan di facebook.

Beliau seterusnya mempersoalkan mengapakah tidak gunakan kemudahan dan fasiliti yang ada di Parlimen dan ketika ini wujud lima bangunan di dalam kawasan Parlimen yang boleh diguna pakai.

Pertama katanya adalah bangunan utama, kedua bangunan menara, ketiga bangunan baharu di belakang bangunan utama di mana setiap Ahli Parlimen mempunyai bilik sendiri, keempat bangunan Dewan Rakyat sementara dan kelima bangunan sementara di sebelah bangunan utama.

Semua fasiliti ini tambahnya lagi boleh digunakan untuk menempatkan kakitangan atau pegawai bertugas untuk mengelakkan terlalu ramai masuk ke bangunan utama ketika dewan bersidang dan hanya Ahli Parlimen saja yang sepatutnya dibenarkan memasuki bangunan utama.

“Untuk mengelakkan terlalu ramai pemandu berada di kawasan Parlimen, kerajaan boleh membenarkan hanya konsep ‘drop off’ sahaja. MP (Ahli Parlimen) dihantar dan diambil ketika dewan selesai bersidang dan semua kenderaan tidak dbenarkan ‘parking’ dalam kawasan Parlimen.

“Kesimpulannya, saya lihat sidang Parlimen ini perlu ada keberkesanan dan bukannya sekadar mendengar apa yang dihujahkan tanpa ada sebarang celahan. Sidang Parlimen bukan seperti khutbah Jumaat. Mendengar apa yang khatib bacakan.

“Apa gunakan kerajaan berbelanja berjuta-juta kalau segala fasiliti yang tersedia tidak digunakan sebaiknya. Kalau tidak boleh bersidang secara bersemuka, saya fikir ini adalah satu alasan yang tidak munasabah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.