Kerajaan Wajar Teliti Kadar Komisyen Penghantaran Makanan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin kerajaan wajar teliti kadar komisyen dikenakan syarikat pengendali aplikasi perkhidmatan penghantaran makanan berikutan situasi semasa sekarang.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan sindiran netizen terhadap kerajaan PN selepas pengumuman PKP Fasa demi Fasa yang berkata, “mungkin restoran perlu tukar status kepada kilang supaya orang ramai dibenarkan makan dalam kedai.”

“Kata mereka ramai berkumpul di kilang boleh, tetapi makan dua orang semeja di restoran tidak boleh. Operasi kilang jalan terus, ‘dine-in’ restoran terhad dua orang satu meja hanya dibenarkan pada Fasa 3.

“Ada cadangan sekurang-kurangnya benarkan satu pelanggan untuk satu meja terlebih dahulu. Dengan SOP yang ketat dan jarak fizikal meja ke meja lebih dari 1 meter di setiap kedai makan.

“Ini kerana walaupun operasi kedai makan telah dilanjutkan sehingga pukul 10 malam (kecuali bagi Selangor dan beberapa kawasan di KL). Ia dikatakan lebih menguntungkan syarikat aplikasi pengkhidmatan penghantaran makanan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Jelas Ahmad Zahid, pengendali aplikasi mengenakan komisyen lebih 30% bagi setiap makanan yang dihantar dan kini ada restoran ‘berkempen’ menggalakkan orang ramai beli makanan terus dari kedai.

“Ada juga kedai makan mula menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan sendiri dan jika keadaan ini berterusan dikhuatiri beri kesan kepada pekerja penghantar makanan.

“Adakah ia keterlaluan dan satu mekanisme kawalan perlu diwujudkan?

“Namun kadar upah kepada penghantar makanan oleh pengendali aplikasi jangan sesekali dikompromi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.