Pengusaha Kantin Sekolah Kena Bayar Sewa Tapi Sekolah Lama Sudah Ditutup – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kerajaan sepatutnya tonjolkan sikap prihatin supaya menjadi contoh yang terbaik untuk diteladani, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana katanya,  walaupun sekolah ditutup  sebaliknya pengusaha kantin sekolah tetap dituntut bayar sewa kantin.

Jelas beliau, masih perlu bayar sewa antara RM1,200 sehingga RM4,000 sebulan.

“Diberi notis peringatan kutipan sewa sedangkan sekolah sudah lama ditutup kerana pandemik. Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia.

“Kita bimbang tindakan itu akan menggalakkan sektor persendirian melakukan perkara serupa.

“Menghakis motivasi pemilik premis beri penangguhan bayaran kepada penyewa mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan kemudian timbul cerita gaji kira-kira 50,000 pekerja kontrak sekolah dipotong sehingga 40 peratus.

“Mereka termasuk tukang cuci dan tukang kebun yang masih bekerja pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dipotong oleh pihak kontraktor kerana Kementerian Pendidikan didakwa mengurangkan peruntukan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid lagi, keadaan itu dikhuatir akan mempengaruhi sektor lain untuk turut potong gaji pekerja.

Ujarnya, ini kerana kerajaan seolah-olah mengizinkan kontraktor lantikannya potong gaji pekerja.

“Kita harap dalam keadaan sukar seperti sekarang kerajaan tampilkan lebih keprihatinan.

“Beri moratorium sewa kepada pengusaha kantin sehingga sekolah kembali dibuka.

“Arah kontraktor tidak potong gaji pekerja dan kerajaan tampung sementara sebahagian gaji pekerja,” tegasnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.