Malaysia Terima Lebih 12 Juta Dos Vaksin Bulan Ini, Tempoh Mencabar Laksana PICK

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia bakal menerima lebih 12 juta dos vaksin COVID-19  bulan ini, sekali gus menjadikan tempoh tiga bulan akan datang sebagai kritikal dan mencabar dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata dengan penerimaam jumlah besar bekalan vaksin itu, kapasiti pemberian vaksin akan turut dipertingkatkan di seluruh negara, bermula Julai ini.

“Sudah pasti (bermula) Julai akan jadi tempoh genting buat PICK,” katanya dalam rakaman video berdurasi 7.46 minit berhubung perkembangan program vaksinasi berkenaan hari ini.

Bagi memastikan cabaran pada bulan mendatang akan dapat dilalui dengan lancar dan teratur, Khairy berkata kapasiti vaksinasi di seluruh negara juga akan dipertingkatkan dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) selain menambah tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan.

Ketika ini, 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara. Selain PPV Mega, banyak PPV telah dibuka dalam pelbagai bentuk seperti di perkampungan Orang Asli, rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan selain melaksanakan vaksinasi rumah ke rumah, katanya.

Beliau berkata 1,500 klinik swasta dan 120 hospital swasta juga akan terlibat sebagai PPV.

Khairy berkata pada masa ini, kadar vaksinasi harian negara melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia, malah vaksinasi harian juga kebelakangan ini mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten dan disasarkan 300,000 dos suntikan sehari, mulai Julai ini.

Jelasnya pada penghujung Mei lepas, jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 5.9 peratus populasi negara, dan kini jumlah itu meningkat kepada 18 peratus.

Ini bermakna, jumlah penerima dos pertama meningkat 200 peratus pada Jun, katanya.

Berhubung pemberian vaksin kepada warga emas, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata setakat ini 60 peratus golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, dengan sasaran 100 peratus menjelang hujung tahun ini.

Beliau turut memberi jaminan mutu perkhidmatan di PPV akan dipertingkatkan termasuk memastikan tahap penyampaian berkualiti sukarelawan dan petugas, selain penambahbaikan aplikasi MySejahtera. – BERNAMA