Mukim Dan Lokaliti Di Selangor, KL Dikenakan PKPD 3 Hingga 16 Julai

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula Sabtu ini (3 Julai) hingga 16 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata mukim terlibat di Selangor ialah daerah Petaling (mukim Petaling, Damansara, Sungai Buloh dan Bukit Raja); Hulu Langat (mukim Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih dan Beranang); Sepang (mukim Dengkil, Labu dan Sepang) dan Gombak (mukim Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang dan Kuang)

Selain itu, daerah Kuala Langat (mukim Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan Batu); Klang (mukim Kapar, Klang); Kuala Selangor (mukim Ijok, Bestari Jaya dan Jeram) serta daerah Hulu Selangor (mukim Serendah, Rasa, Ulu Yam dan Batang Kali).

Sementara di Kuala Lumpur melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak; PPR Batu Muda; Flat Seksyen 1 dan Flat Seksyen 2 Wangsa Maju; Kampung Padang Balang; Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2); Flat Sri Sabah; Kampung Puah dan PPR Kampung Baru Air Panas.

Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima); Kampung Batu Muda; PPR Kerinchi; Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan PKPD itu kesemua laluan akan ditutup serta dikawal polis dan semua penduduk tidak dibenar keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang wakil isi rumah bagi membeli keperluan asas dalam radius 10 kilometer dari kediaman.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan terlibat.

“Jawatankuasa penyelaras program vaksinasi kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.

Menurutnya pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya lapangan terbang dan pelabuhan dibenar beroperasi seperti biasa manakala aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api, komuter, bas, teksi, feri dan e-hailing) beroperasi dengan kapasiti 50 peratus, sementara bilangan individu dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.

Ismail Sabri berkata kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah, selain tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas 8 malam kecuali bagi kes kecemasan atau mendapat kebenaran polis.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

“Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang serta premis perniagaan dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata hanya sektor perkhidmatan perlu sahaja dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan

Katanya prosedur operasi standard (SOP) PKPD itu turut menetapkan hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan dan pelitup muka dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata restoran, kedai atau gerai makan, trak makanan, penjaja tepi jalan, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian, farmasi, klinik haiwan dan kedai makanan haiwan dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Stesen minyak dibenar beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam, pasar borong (12 tengah malam hingga 6 pagi), pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) dan MyFarm Outlet (6 pagi hingga 2 petang), hospital, klinik dan makmal perubatan (dibenar beroperasi 24 jam) manakala sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya tidak dibenarkan.

Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan Asrama Pekerja Latexx Village, Taiping; Asrama Pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Industri Kamunting Aman, Kamunting di Perak; Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang serta Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka bagi tempoh sama setelah berlaku peningkatan kes COVID-19 di kawasan terbabit.

Selain itu, turut dikenakan PKPD ialah dua lokaliti di Tawau, Sabah melibatkan Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung; Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu; Kampung Lingkodon, Kota Belud; Kampung Pintas Kubu, Beaufort; Kampung Muhibbah, Putatan dan Kampung Goshen, Kota Marudu.

PKPD di sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak serta PKPD di Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor pula dilanjutkan bermula 3 hingga 16 Julai.

Sementara PKPD di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan lebih awal iaitu pada 11.59 malam, 2 Julai.

Ismail Sabri berkata seramai 549 individu pula ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam, dengan 535 individu dikompaun manakala 14 direman. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.