Manusia Perak, Hentaman Meteor Antara Tarikan Ekopelancongan Di Lenggong

IPOH, 1 Julai – Manusia Perak, peristiwa hentaman meteor serta debu letusan gunung berapi Toba di Sumatera akan diketengahkan sebagai produk ekopelancongan di Lenggong yang bakal dipromosi sebagai kawasan Geopark Kebangsaan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Selain itu, beliau berkata kawasan tersebut yang kaya dengan kepelbagaian geologi dan kebudayaan masyarakat setempat juga akan terus dipromosikan sebagai kawasan kajian arkeologi.

“Papan iklan gergasi dan panel-panel informasi sedang direka bentuk dan akan dipasang di lokasi-lokasi strategik di sekitar Lembah Lenggong bertujuan mempromosikan dan memperkenalkannya sebagai kawasan Geopark Kebangsaan.

“Kesemua kemudahan ini dibina khusus untuk para pelancong yang berkunjung dan ingin menjelajah keunikan alam semula jadi, kepelbagaian geologi, arkeologi dan budaya di Lembah Lenggong ini,” kata Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong hari ini.

Beliau juga berkata hasrat menjadikan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan Kedua selepas Lembah Kinta, adalah satu inisiatif yang saling melengkapi, sesuai dengan status Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yakin pembangunan yang bakal wujud selepas pengiktirafan Geopark Lenggong sebagai geopark kebangsaan kedua di Perak akan membantu meningkatkan ekopelancongan negara.

Shamsul Anuar berkata bagi tujuan itu, kajian saintifik dilaksanakan oleh kumpulan pakar daripada Jabatan Mineral dan Geologi, Pusat Penyelidikan Arkeorlogi Global (PPAG) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya KeTSA juga Lembah Lengggong dinobatkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Geopark Global selewat-lewatnya pada 2023. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.