KeTSA Kenal Pasti Tindakan Strategik Selamatkan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan mengenal pasti tindakan strategik untuk mengukuhkan inisiatif dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya yang merupakan spesies ikonik Malaysia dan menjadi simbol Jata Negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata inisiatif baharu yang lebih berimpak tinggi akan dilaksana termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan dalam kawasan habitat itu bagi membanteras penceroboh dan pemburu haram.

Beliau berkata kementerian juga sedang melaksanakan proses pindaan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) supaya kadar hukuman dan penalti lebih berat dikenakan bagi kesalahan memburu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya termasuk Harimau Malaya.

“Pindaan Akta 716 ini akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang. Selain itu, enakmen berkaitan kawasan perlindungan akan diperkukuh khususnya dalam aspek meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan jenayah hidupan liar sebagai satu daripada pendekatan pencegahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan satu kumpulan pakar ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) terdiri daripada pakar konservasi Harimau Malaya termasuk pengurusan Taman Negeri dan badan bukan kerajaan untuk memberi input berkaitan tindakan strategik bagi menangani krisis spesies itu.

Beliau berkata sebanyak 5,287 bahagian anggota badan Harimau Malaya yang diseludup dirampas sepanjang tempoh 2011 hingga 2020.

Shamsul Anuar berkata pada 16 Jun lepas, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan pelbagai tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh pelaksanaan 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.

Katanya tindakan strategik lain termasuklah pemerkasaan aspek penguatkuasaan di peringkat serantau melalui platform Kumpulan Kerja ASEAN mengenai CITES dan Penguatkuasaan Hidupan Liar (AWG-CITES dan WE) serta memperkasa Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan bagi meningkatkan pengawasan penyakit zoonotik.

Beliau berkata bagi menjamin kesinambungan kompleks hutan di Central Forest Spine (CFS), KeTSA akan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha untuk memulih, mengekal dan meningkatkan kesalinghubungan kawasan keliaran Harimau Malaya.

Beliau berkata Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dilaksanakan pada 2016 hingga 2020 di landskap hutan-hutan CFS Semenanjung mendapati populasi Harimau Malaya di habitat asal berada pada tahap amat membimbangkan.

“Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli perlu menerajui tindakan-tindakan luar biasa bagi memastikan negara tidak akan kehilangan spesies ikonik buat selama-lamanya,” kata beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.