Moratorium: Jangan Hanya Isytihar Untuk Sedapkan Hati Rakyat Sahaja, Tegas Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tegas berkata kerajaan tidak boleh hanya mengisytiharkan moratorium untuk menyedapkan hati rakyat.

Menurutnya, kerajaan harus memperhalusi setiap amalan dan perlaksanaan di peringkat bank-bank yang pelbagai dan kadangkala menekan rakyat.

Ini katanya berdasarkan kepada diskusinya bersama beberapa pemegang jawatan tinggi di bank-bank yang sejujurnya mereka akui bank-bank tidak sangat terkesan dengan penawaran moratorium kepada rakyat sepanjang enam bulan tahun lepas.

“Bahkan bank-bank utama mencatatkan keuntungan besar pada tahun berakhir 2020 (Maybank RM6.48 bilion; Public Bank RM4.87 bilion; CIMB RM1.19 bilion; Hong Leong RM1.4 bilion; RHB RM1.8 bilion; Ambank RM0.87 bilion),” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Dr Asyraf berkata pagi tadi seawal pukul 7 beliau berkesempatan berdiskusi secara atas talian dengan beberapa pegawai tinggi berpangkat Senior Vice Presidents dari bank terkemuka tempatan bagi membincangkan isu moratorium yang diamalkan di bank-bank hari ini dan secara kebetulan kenalan rapat ketika beliau pernah dalam industri perbankan hampir 10 tahun sebagai Lembaga Pengarah, Chairman Board Risk Management Committee, Pengerusi Syariah dan konsultan kepada beberapa buah bank tempatan.

“Insya-Allah saya akan kongsikan intipati perbincangan dan beberapa cadangan yang praktikal dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itulah katanya apabila Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul (yang pernah berpengalaman selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB) memastikan bank-bank juga berkorban di saat krisis dengan menawarkan moratorium secara automatik dan menyeluruh tanpa caj mahupun faedah tambahan, bukanlah suatu yang tidak praktikal.

“Malangnya ada bank-bank yang semacam mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat dengan cuba mengaut keuntungan berganda menawarkan kaedah moratorium yang hakikatnya menekan rakyat.

“Contohnya, moratarium tiga bulan tetapi kena perpanjangkan tempoh bayaran balik (principal campur faedah) selama 12 bulan tambahan.

“Ini bermakna rakyat yang sudahpun terbeban terpaksa membayar balik jumlah pinjaman beserta faedah terakru bukannya penangguhan bayaran ansuran yang bersifat ihsan,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.