“Antara Kasih Sayang Dan Air Mata Dua Negara”

CAIRO, 30 Jun – Mereka datang dari dua wilayah berbeza, Asia Tenggara dan Arab. Antara mereka, tiada persamaan budaya.

Namun, dalam diri mereka, ada persamaan – air mata dan perjuangan. Sementara Asia Tenggara turut melalui kancah peperangan ketika Perang Dunia Kedua, Palestine terjebak dalam kekejaman perang sejak 1948 lagi.

Di Asia Tenggara, anggota Misi Kemanusiaan Untuk Palestine (HM4P) kini tidak menangis lagi. Perang sudah tamat, mereka boleh tidur enak di ‘comforter’ dalam bilik hawa dingin, namun di Palestine, air mata adalah umpama bantal peluk, tangisan adalah selimut manakala embun malam adalah “aircond” mereka.

Sementara bagi anggota misi kemanusiaan, semasa muda, penat memegang cangkul ke sawah, atau pisau toreh, namun bagi anak Palestine, senjata api adalah “barang permainan” sejak belasan tahun. Kepada mereka, peluh dan darah tiada bezanya!

Justeru, kenapakah mereka sanggup berkorban menggadai nyawa ke Gaza? Jawapannya: Kerana rasa ehsan dan persaudaraan, serta perjuangan mengembalikan semula kepada rakyat Palestine hak yang telah dirampas sekian lama.

Berbekalkan keberanian, doa dan tawakal kepada Pencipta Yang Maha Esa, anggota misi tinggalkan tilam empok di Kuala Lumpur, kini berpanas, berpeluh di Cairo menyiapkan bekalan makanan untuk diberi kepada 5,000 keluarga mangsa kekejaman Zionis dalam khemah di Gaza.

Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pasukan 17 anggotanya dijangka masuk bila bila masa sahaja ke Gaza, kerana segala dokumen dan surat permohonan kelulusan sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa Mesir dan Palestine.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, berkata fokus utama misi adalah bagi memastikan semua bantuan makanan dan peralatan perubatan diterima oleh mangsa perang di khemah pelindungan di Gaza.

“Kami sudah bertungkus lumus sejak sebulan lepas. Di mata kami, terbayang wajah anak anak Palestine yang menderita.

“Apabila kami tiba di Cairo, semangat ingin membantu ini bertambah kuat, apatah lagi selepas kami melihat sendiri penderitaan yang dialami mangsa kekejaman zionis di Hospital Palang Merah Cairo dan Hospital Palang Merah Palestine,” katanya.

Ditanya, apakah beliau dan anggota misi tidak penat membantu rakyat Palestine ini, Azeez berkata: “Mereka (rakyat Palestine) adalah bersaudara dengan kita di Malaysia. Setitik darah mereka tumpah di Gaza atau di mana saja tempat di Palestine, deritanya sama dirasai di Malaysia. Ada mereka yang sama agama, ada yang tidak sama, tetapi apabila perut rakyat Palestine dirobek peluru, kepala ditendang dan disepak dengan kejam oleh askar Israel, rumah dibakar dan mereka diusir keluar, kita di Malaysia akan bangkit melawan kekejaman itu. Kita adalah brotherhood, kita satu perjuangan.”

Beliau meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan anggota misi masuk ke Gaza dan selamat kembali ke Malaysia.-UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.