PKPD Di 14 Lokaliti Dengan Tujuh Di Sabah Mulai Rabu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Sebanyak 14 lokaliti iaitu tujuh di Sabah, empat di Selangor, dua di Sarawak dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini sehingga 13 Julai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan Kampung Timbagan, Matunggong; Kampung Perpaduan Gumpa dan Kampung Perpaduan 2 di Kudat; Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung (Tawau); Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur (Keningau); Kampung Pondo, Pulau Gaya (Kota Kinabalu) dan Kampung Linukaan di Kota Marudu.

Di Selangor pula, katanya ia membabitkan CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya (Rawang), Taman Murni, (Sepang), Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi (Bangi) dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia (Klang).

Sementara di Sarawak, masing-masing di Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang (Kuching) dan Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD) di Mukah, manakala di Pahang, Flat Taman Benus Jaya, Bentong.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar serta memudahkan aktiviti saringan kontak, pengasingan bagi kes dan kotak rapat,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di tiga lokaliti iaitu Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera di Tanjung Agas, Tangkak, Johor dan dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan bagi tempoh sama mulai Rabu berikutan masih terdapat kes baharu direkodkan di situ.

Sementara itu, PKPD di Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat yang dijadualkan tamat 3 Julai, serta Kampung Pengaraban, Kudat di Sabah (yang dijadual tamat 2 Julai), kesemuanya ditamatkan pada 11.59 malam ini, lebih awal daripada jadual, selepas terdapat trend penurunan kes.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata sebanyak 866 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam

“Daripada jumlah itu, sebanyak 779 individu dikompaun manakala 87 lagi direman dengan kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran atau makan/minum di premis sebanyak 229,” katanya.

Bagi Op Benteng pula, 17 pendatang tanpa izin ditangkap dan tujuh kenderaan darat dirampas semalam. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.