Tindakan KPKT Sangat Tidak Masuk Akal, Berhutang Tempoh Pandemik Bukan Jalannya – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap tindakan sangat tidak masuk akal apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memutuskan bahawa sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) berdaftar dengannya dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP).

Soalnya, adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan?

“Tindakan ini sangat tidak masuk akal. Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan? Di mana munasabahnya mengalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertangggungjawab?” bidasnya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegasnya, rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan namun menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit.

“Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral.

“KPKT seharusnya menggunakan ‘reserve’ Kerajaan Tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat. Banyak Kerajaan Tempatan mempunyai ‘reserve’ yang besar.

“Tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan manusiawi pembayar cukainya dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.”

Jelasnya, begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap dan mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi.

“Tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara.

“Tetapi menggalakkan rakyat berhutang dengan ceti, bukan jalannya,” bidas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.