PKPD Di Lima Lokaliti Di Sabah, Dua Di Pahang – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lima lokaliti di Sabah serta dua lokaliti di Pahang mulai 28 Jun hingga 11 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang) di Kinabatangan, Kampung Tuunon di Penampang, Kampung Perpaduan Ria 1 di Kudat dan Kampung Jawi-Jawi di Kota Belud.

PKPD di Pahang pula membabitkan kawasan Tringkap di Cameron Highlands serta di kawasan sekitar Bandar Jerantut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut serta menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, Ismail Sabri berkata PKPD di dua lokaliti di Kota Belud, Sabah, melibatkan Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan sehingga 11 Julai berikutan penularan yang masih berlaku serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Beliau berkata terdapat beberapa lokaliti yang ditamatkan esok seperti dijadualkan melibatkan empat lokaliti PKPD di Sabah dan satu di Pahang manakala satu lagi lokaliti di Sabah ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan.

PKPD di Sabah yang ditamatkan esok mengikut jadual ialah di Kampung Indah di Nabawan; Kampung Manggis di Kuala Penyu; Kampung Baru (SFI) di Sipitang; Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah di Tawau; manakala penamatan PKPD di Pahang melibatkan kawasan Kampung Raja di Cameron Highlands.

Lokaliti PKPD yang turut ditamatkan esok namun lebih awal daripada dijadualkan ialah Kampung Sundang Laut, Sandakan, Sabah (dijadualkan tamat pada 29 Jun) selepas berlaku penurunan kes dan kluster yang terkawal selain semua kes positif telah menerima rawatan.

Beliau juga berkata Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan mengarahkan lima kilang dan 10 premis perniagaan ditutup dalam pemeriksaan semalam, selain 12 tangkapan telah direkodkan kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP).

Menyentuh pematuhan SOP PKP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 735 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 705 daripadanya dikompaun manakala 30 lagi direman.

Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran serta makan atau minum di premis dengan 153 kes, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (149 kes), tidak memakai pelitup muka (143) dan tiada penjarakan fizikal (130). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.