95 Peratus Anggota Tentera Di Sabah Sudah Divaksinasi – Ismail Sabri

KOTA KINABALU, 26 Jun – Kira-kira 95 peratus anggota tentera di Sabah sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata jumlah itu melibatkan 10,400 daripada kira-kira 11,000 anggota tentera yang bertugas di Negeri di Bawah Bayu yang menerima sama ada dos pertama atau sudah melengkapkan kedua-dua dos.

“Kita lihat peratusan anggota tentera di Sabah yang telah menerima suntikan vaksin adalah amat tinggi. Secara keseluruhannya, sekitar 95 peratus anggota tentera (merangkumi) semua perkhidmatan iaitu tentera darat, tentera udara dan tentera laut sudah pun divaksinasi.

“Kita menjangkakan untuk memberi suntikan vaksinasi hingga 99 peratus daripada seluruh anggota tentera di Sabah. Maknanya, ada lebih kurang empat peratus lagi untuk mencapai sasaran itu dan kita sedang menunggu vaksin. Kita memerlukan 600 dos sahaja lagi,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima 5 Divisyen Mejar Jen Datuk Mohd Halim Khalid dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya.

Program hari ini menyaksikan 636 individu merangkumi 67 anggota tentera dan 439 ahli keluarga mereka, selain 69 kakitangan awam kementerian terbabit dan 61 askar wataniah menerima suntikan vaksin secara pandu lalu bermula 8 pagi tadi.

Program sehari itu melibatkan 66 petugas termasuk empat pegawai perubatan dan 32 petugas kesihatan, dengan sebanyak tiga saluran kenderaan dan enam stesyen untuk vaksinasi disediakan.

Ismail Sabri berkata Sabah adalah lokasi ketiga bagi pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu selepas kejayaan projek rintis di Kem Perdana Sungai Besi dan Kem Muara Tuang di Sarawak masing-masing dijalankan pada 8 dan 19 Jun lepas.

Beliau berkata program itu juga akan dilaksanakan di Kem Kabota, Tawau dan Kem Sri Kinabatangan, Sandakan.

“Konsep vaksinasi pandu lalu ini juga boleh dibuka kepada orang awam termasuk veteran tentera di Sabah sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan kementerian berkenaan untuk melaksanakannya bagi mencapai sasaran imuniti kelompok ditetapkan,” katanya.

Katanya Kementerian Pertahanan akan memastikan semua anggota tentera menerima suntikan vaksin sebagai usaha mencapai imuniti kelompok lebih awal memandangkan mereka adalah barisan hadapan yang bertanggungjawab mempertahan kedaulatan serta keamanan negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.