LTSAAS Subang : Teliti Mendalam Sebarang Cadangan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Cadangan penjualan atau pajakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS Subang) kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu yang kaya raya adalah bertentangan dengan kepentingan nasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apa yang dibangkitkan Kesatuan Pekerja Pekerja MAHB pada 21hb Jun berhubung isu berkenaan perlu dilihat secara mendalam.

“Saya ingin merujuk kenyataan media Kesatuan Pekerja Pekerja MAHB pada 21hb Jun dalam membangkitkan isu pengambilan alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS Subang).

“Mereka dengan tegas membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk menjual atau memajak asset negara ini kepada sebuah syarikat swasta. Jika perkara ini dibenarkan berlaku, saya merasa sangat dukacita dan kesal. LTSAAS Subang adalah aset strategik yang sangat bernilai. Ia milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang rakyat jelata ada kepentingan terus melalui KWSP, PNB, KWAP dan sebagainya,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Mohamad, cadangan penjualan atau pajakan kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu yang kaya raya adalah bertentangan dengan kepentingan nasional.

Tambahnya lagi ramai yang lupa bahawa LTSAAS Subang adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandaraya besar lain seperti Shah Alam, Kelang dan Petaling Jaya.

“Kita telah lama kehilangan lapangan terbang Sungai Besi yang sangat strategik. Jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi. Kerana kepentingan strategik tersebutlah, ia harus kekal menjadi aset milikan Kerajaan.

“Kedua, apa jua cadangan yang diterima oleh Kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan. Jelaskan dengan terperinci dan terus terang rancangan mereka kerana rakyat berhak tahu. Rakyat adalah pemegang taruh LTAAS Subang.

“Ketiga, jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta. Apalagi bila ia lebih beroreintasi pembangunan hartanah. Rencana korporat senantiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” ujarnya.

Ujarnya lagi Lapangan Terbang Senai terlepas dari pegangan MAHB dalam tahun 2003 dengan janji bahawa Senai akan memberi persaingan yang hebat kepada Changi, Singapura dan selepas 17 tahun, Senai terus jauh ketinggalan dari Changi dari semua segi.

“Keempat, saya di fahamkan bahawa satu taklimat kepada YAB Perdana Menteri oleh Malaysia Airports telah dibuat. Plan “Subang Airport Regeneration” oleh MAHB sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara.

“Saya mengerti kegusaran oleh pihak Kesatuan Sekerja. Ini bukan sahaja melibatkan masa depan mereka, tetapi juga negara. Kerajaan wajar untuk tidak mempertimbangkan cadangan pajakan atau penjualan aset nasional tersebut kerana ia bukan keutamaan dalam saat negara dilanda pandemik dan kemelesetan nasional yang sangat ketara,” tambahnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.