Atasi Krisis Dengan Buat Betul-betul, Bukan Separuh Masak

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata prinsip beliau mudah sekiranya mahu buat sesuatu untuk mengatasi krisis, hendaklah dengan betul-betul dan bukan separuh masak.

Ini kerana tegas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu supaya matlamat dicapai secepat mungkin dan krisis tidak diheret berpanjangan.

Begitu juga kata Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, adalah perlu ada hasil.

“Jika perlu korban untuk kebaikan bersama, semua kena korban bersama untuk seketika. Bukan ada yang lepas tapi majoriti yang terkorban.

“Perlu adil. Dan bantuan patut diberi awal pada kadar yang wajar dan realistik bagi meringankan beban golongan yang paling terjejas supaya mereka mampu menghadapi tempoh pengorbanan,” tekannya lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, untuk mengatasi sesuatu krisis juga perlu peka dan peduli dengan kesusahan Rakyat.

“Susah faham ke ni? Sudah berpuluh kali saya pesan sejak bulan Januari lagi,” katanya.

Terdahulu di media sosialnya itu Najib turut melemparkan persoalan adakah ‘lockdown’ akan dilanjutkan lagi.

“Hari ini ialah hari ke-23 ‘total lockdown’ yang sudah diakui bukan total oleh Menteri PN (Perikatan Nasional).

“45 hari sudah berlalu sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0 seluruh negara diumum pada 10 Mei 2021 namun 21 lagi kluster baharu masih dikesan semalam. (PKP 1.0 tahun lalu yang amat ketat cuma 45 hari sahaja),” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu juga menimbulkan persoalan apakah bantuan yang sudah sampai ke tangan rakyat sejak PKP 3.0 bermula.

“Moratorium pukal secara automatik? Diskaun elektrik? BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) tambahan yang mencukupi? i-Sinar/i-Lestari 2.0?

“Ataupun peniaga dan rakyat yang sudah kurung 45 hari tidak perlu dibantu?,” soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.