Nak Bantu Rakyat… Bantulah Sepenuh Hati, Jangan Terlalu Berkira – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Jun – “Nak bantu rakyat bantulah sepenuh hati dan seikhlas mungkin. Janganlah terlalu berkira,” demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung situasi semasa kehidupan rakyat dalam berdepan tekanan ekoran pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut berkongsi kisah berkaitan permohonan moratorium automatik bersasar PKP 3.0 yang dikongsikan baru-baru ini.

“Dia punya temuduga untuk dapatkan moratorium ibarat mahu mohon jawatan Pengarah. Tidak semudah seperti dikhabarkan.

“Baki gaji berapa? Berapa guna untuk belanja? dan akhirnya bank maklumkan baki gaji cukup untuk bayar ansuran kereta. Memanglah cukup bayar ansuran kereta, tetapi mana cukup tampung seisi keluarga pada waktu pendapatan isi rumah sedang terjejas.

“Dan bank terus kategorikan sebagai golongan M40 tidak layak dapat moratorium automatik,” katanya.

Kisah kedua maklumnya, bank kenakan beberapa syarat untuk peniaga kecil yang mahu dapat moratorium.

“Perlu tunjuk bukti hilang pendapatan semasa buat permohonan moratorium. Masalahnya peniaga kecil tiada bukti selain penyata bank dan rekod rekod dalaman perniagaan.

“Ramai peniaga kecil tidak ada slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang kerja. Ada pula peminjam yang dapat moratorium wajib bayar faedah setiap bulan.

“Kesimpulan daripada dua kisah ini pernah dengar peribahasa indah khabar dari rupa.
Maksudnya perkara baik yang diperkatakan tidaklah seperti yang digambarkan, atau dalam fahaman lebih mudah ‘cakap tidak serupa bikin’, ‘manis di bibir memutar kata’,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid adalah antara pemimpin BN/UMNO yang konsisten menggesa agar bantuan kepada rakyat diberikan selain bantuan tunai termasuk kelulusan automatik moratorium bagi peniaga yang tidak boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.