Ahmad Zahid Harap Keputusan Pengambilan Guru ‘One-Off’ Dibuat Secara Realistik, Bukan Populis

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keputusan mengenai pengambilan khas guru secara ‘one-off’ seramai 18,702 orang dibuat secara realistik dan bukan atas keperluan populis.

Ini kerana katanya, ramai yang menzahirkan persoalan di sebalik pengambilan secara ‘one-off’ tersebut termasuk pakar pendidikan malah Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) turut bertanyakan hal serupa.

“Persoalannya adakah masih kekosongan guru untuk diisi graduan pendidikan baharu pada tahun-tahun mendatang? Ini selepas begitu ramai guru diambil sekali gus maka masih ada peluang bakal graduan kita menjadi guru dalam tempoh setahun dua lagi?

“Paling menimbulkan persoalan apabila kekosongan jawatan guru lebih 18,000 itu turut dibuka kepada graduan bidang lain,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau bimbang akan memberi kesan yang lain pula.

“Seperti kita sedia maklum graduan pendidikan sedia ada pun ramai yang masih menganggur.

“Ada yang telah lima sehingga enam tahun masih belum dapat jadi guru, maka wajar mereka ini diambil terlebih dahulu.

“Dengan syarat yang tidak keterlaluan sehingga menafikan usaha dan pengorbanan mereka mahu menjadi warga pendidik,” katanya lagi.

Dilaporkan sebelum ini Kementerian Pendidikan memaklumkan akan melaksanakan pengambilan khas secara one-off seramai 18,702 pendidik dengan permohonannya akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan mereka ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.