Muhyiddin Perlu Ketepikan Ego, Rakyat Persoal Tindakan Mempergunakan Darurat – Razlan Rafii

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii memaklumkan ramai dalam kalangan rakyat yang mempersoal tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempergunakan Darurat untuk tujuan tertentu.

Katanya, sehingga ke hari ini tidak nampak hasil untuk melandaikan angka COVID-19 walaupun sudah masuk tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan.

“Ramai yang bersuara berkenaan kaedah lockdown yang dilaksanakan kali ini ianya bukan seperti yang pertama kali, kilang-kilang diberi kelulusan berleluasa, sehingga semalam kluster kilang bertambah dan semenjak lockdown, kluster ini terus bertambah.

“Berita 10 keluarga dijangkiti akibat dari ayah dan mak mereka bekerja kantin di kilang. Peristiwa ini juga tidak berjaya sampai ke hati Tan Sri Muhyiddin Yassin, sungguh keras hati. Beliau tidak bersama bersedih dengan angka 4000 rakyatnya terkorban!

“Pintu Istana sudah diketuk, Majlis Raja-Raja sudah bertitah, juga Kebawah Duli Tuanku Agong juga sudah mengeluarkan titah,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata kerajaan bukan mahu mencari kaedah untuk dibantu malah menghabiskan duit kepada mengupah juru tulis siber untuk menunjukkan bahawa semua kepincangan ini adalah tipu dan bermotif politik.

“Saya nak bertanya kepada kerajaan, apakah angka mencecah 10 ribu sehari dan angka kematian sehingga 4000 adalah angka yang mereka anggap masih dalam berjaya?

“Bagaimana angka yang dibuang kerja? Bagaimana angka graduan yang tidak bekerja? Bagaimana dengan kadar bunuh diri? Bagaimana dengan angka gulung tikar? Bagaimana dengan angka miskin tegar?

“Ini semua adalah masalah yang makin meruncing bagi rakyat jelata untuk mereka meneruskan kehidupan,” ujar beliau.

Beliau juga turut menasihati Muhyiddin untuk mengenepikan ego, lihat dari mata hati dan bertanya kepada pada diri sama ada mengekalkan beberapa menteri di dalam barisan Kabinet adalah keputusan yang terbaik.

“Adakah keputusan aku mengekalkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri menjaga kelulusan kilang masih releven, adakah keputusan untuk tak menegur Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang terus gagal menjaga sempadan daerah, negeri dan negara masih baik.

“Aku ada ramai menteri, kenapa pendaftaran vaksin masih tak penuh, adakah aku patut mengekalkan semua 70 orang ahli Kabinet aku ini sedangkan rakyat aku di luar sana hilang punca pendapatan dan hidup merana?

“Hari ini rakyat sedang tenat, tapi Tan Sri Muhyiddin masih melihat jauh dari hati beliau bahawa semua data ini tipu, tidak perlu melakukan sesuatu didalam Kabinet beliau, Kabinet beliau adalah yang terbaik di dalam menangani nyawa dan kehidupan rakyat,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.