KeTSA Sokong Usaha, Komitmen Kerajaan Pahang Pelihara Tasik Chini

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan sentiasa menyokong usaha dan komitmen kerajaan negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini termasuk memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata susulan usaha itu, kementerian akan sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan status tapak biosfera yang diberikan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu.

Antara komitmen kerajaan negeri yang lain ialah mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO berkenaan.

“Dasar dan hala tuju telah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber-sumber asli dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Selaras dengan fungsi kawal selia ini, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan seperti Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Rizab Perlindungan serta kawasan yang diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

“Bagi maksud ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kelulusan untuk kawasan selain daripada itu, Shamsul Anuar berkata ia tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna.

“Dengan adanya inisiatif daripada kerajaan negeri Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB (Man and the Biosphere, UNESCO) dapat dipertahankan. Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh hingga 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara,” katanya.

Penyertaan Malaysia dalam program MAB, UNESCO bermula pada 2009 menerusi pengiktirafan Tasik Chini pada 26 Mei 2009 dengan keluasan 6,922.97 hektar.

Inisiatif itu melibatkan program saintifik antara kerajaan bagi memperbaiki hubungan antara manusia dengan alam sekitar, dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.