Kerajaan Negeri Sembilan Perlu Serius Bantu Rakyat – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pemuda UMNO Negeri Sembilan hari ini menggesa agar kerajaan negeri memandang serius penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri berkenaan dengan bertindak segera secara komprehensif khususnya menyegerakan segala bentuk perancangan yang ada kerana negeri sedang berada di dalam krisis.

Ketuanya Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata kerajaan Negeri perlu agresif dengan menggerakkan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu agensi penguatkuasa lain dari Kerajaan Persekutuan seperti Polis untuk mengadakan pemeriksaan kepada kilang-kilang yang melanggar arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam reaksi Menteri Besar di atas peningkatan kes Covid-19 ini semalam, beliau memberitahu, lebih 78 peratus jangkitan adalah melibatkan kluster pekerja dalam sektor industri. Ini bermakna punca penyebaran ini melibatkan kawasan-kawasan perindustrian.

“Jangan biarkan kapitalis-kapitalis ini mengaut keuntungan ketika rakyat dipaksa duduk di rumah. Menteri Besar sebagai Pengerusi MKN negeri perlu proaktif. Jangan hanya menjadi ahli mesyuarat yang pasif,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tegas beliau lagi kerajaan negeri juga perlu mengerahkan segala jentera agensi yang ada di bawahnya untuk mengadakan program sanitasi awam besar-besaran terutama di kawasan-kawasan yang melibatkan tumpuan orang ramai.

Di samping itu, tambahnya seperti yang telah dicadangkan sebelum ini, usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat di Negeri Sembilan mendaftar dan menerima vaksin perlu dilakukan.

“Hari ini kita dapat lihat agensi Kerajaan Negeri Sembilan terlalu lemah untuk menjayakan usaha ini dan ianya perlu dipergiatkan.Bagi memastikan rakyat divaksin, Kerajaan Negeri perlu bantu agensi Kerajaan Persekutuan untuk segera mengaktifkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bekerjasama eratlah dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di peringkat pusat supaya Negeri Sembilan dapat segera mencapai hasrat imuniti berkelompok. Jangan hanya menunggu tanpa sebarang usaha.

“Benar. Kita akui Menteri Besar ada umumkan peruntukkan sebanyak lebih RM29 juta sebagai usaha membantu rakyat di Negeri Sembilan. Menerusi peruntukkan itu, Menteri Besar menggariskan 11 inisiatif yang kononnya untuk membantu rakyat dalam saat sukar ketika ini. Namun timbul persoalan di sebalik pengumuman Kerajaan Negeri itu,” ujarnya.

Pertama, ujar beliau lagi jumlah RM29 juta itu terlalu sedikit jika hendak dibandingkan jumlah keseluruhan rakyat di Negeri Sembilan dan seharusnya, Kerajaan Negeri perlu menambahkan peruntukkan yang ada untuk pastikan lebih ramai rakyat yang menerima bantuan.

Angka RM29 juta tambah beliau lagi terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan rizab RM1 bilion yang diumum Menteri Besar tahun lalu.

“Jika rizab Kerajaan Negeri yang diwarisi oleh Kerajaan Negeri terdahulu itu banyak, gunakanlah sekarang ini. Buat apa disimpan rizab yang banyak sedangkan rakyat sedang dalam kesusahan. Sekaranglah waktu yang sesuai Kerajaan Negeri berbelanja. Tidak ada gunanya jika akaun Kerajaan Negeri dilihat cantik di atas kertas, tetapi hakikat rakyat tidak sebegitu.

“Kedua, menerusi inisiatif-inisiatif di dalam peruntukkan itu, langsung tidak dinyatakan peruntukkan kewangan Kerajaan Negeri untuk membeli vaksin sendiri untuk rakyat di negeri ini. Walhal, Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Nicole Tan Lee Koon di laman Facebooknya ada menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk membeli vaksin sendiri. Jika benar Kerajaan Negeri mahu membelinya, berapakah peruntukkan yang disediakan?

“Ketiga, Exco berkenaan juga mengulas kononnya Kerajaan Negeri sukar untuk mendapatkan kelulusan untuk membeli vaksin sendiri daripada Kerajaan Persekutuan. Kesalahan itu cuba untuk ditudingkan kepada Kerajaan Persekutuan. Persoalannya, bagaimana Selangor, Johor dan Sarawak boleh umumkan akan beli vaksin sendiri.

“Tidak adil juga tuduh Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan proses kelulusan kononnya kerana Negeri Sembilan adalah negeri pembangkang. Bagaimana pula dengan Selangor yang juga merupakan negeri yang ditadbir oleh parti bukan dari Kerajaan?,” tambahnya.

Tambahnya lagi Kerajaan Negeri seolah-olah membuka pekung didada sendiri dengan menunjukkan kelemahan mereka dalam mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan dengan sebaiknya dan rakyat boleh menilai sendiri apabila Kerajaan Negeri setakat ini hanya sembang kosong kononnya mahu membeli vaksin sendiri, tetapi usaha ke arah itu langsung tidak nampak.

“Seharusnya Kerajaan Negeri perlu lebih serius dalam bersama-sama berusaha agar rakyat dapat menghadapi kesengsaraan tempoh pandemik ini. Jangan biarkan rakyat keseorangan. Jangan biarkan rakyat hilang tempat bergantung seperti anak ayam kehilangan ibunya.

“Bagi tujuan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan berpendapat bahawa inisiatif-inisiatif bantuan yang diumumkan oleh Menteri Besar itu perlu ditambahbaik dengan beberapa perkara. Jangan terlalu kedekut atau bersikap tangkai jering dengan rakyat sendiri.

“Pertama, seperti yang dinyatakan di awal kenyataan ini, dana tambahan diperlukan. Ini supaya bantuan one-off dapat diberikan kepada lebih ramai keluarga dan rakyat yang mungkin kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan kerana Covid-19 ini. Jangan terlalu rigid dalam proses menyalurkan bantuan kepada rakyat. Kerana dalam saat ini, kesemua rakyat dari pelbagai lapisan semuanya terjejas. Maka bertindaklah.

“Kedua, di dalam 11 inisiatif yang dinyatakan itu, langsung tidak ada pengumuman bantuan komputer riba secara percuma kepada pelajar dari keluarga yang memerlukan. Sedangkan ramai lagi adik-adik kita tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk meneruskan persekolahan secara maya yang sedang berlangsung hari ini. Takkan lah Kerajaan Negeri tidak sedar akan perkara ini? Negeri lain dah buat. Tetapi Kerajaan Negeri seperti memekakkan sahaja telinga dan membutakan sahaja mata. Jika sudah diberi bantuan komputer riba itu, nyatakan berapa banyak yang telah diagihkan. Dan berapa banyak peruntukkan disediakan?

“Ketiga, yang sedikit melucukan, di dalam inisiatif itu, turut dinyatakan adalah perbelanjaan kontigensi. Persoalannya, apakah takrifan kontigensi yang dimaksudkan oleh Kerajaan Negeri kerana peruntukkannya terlalu besar iaitu sebanyak RM4 juta. Adakah jika tidak ada kotingensi yang dimaksudkan, perbelanjaan itu tidak akan digunakan? Sepatutnya, perbelanjaan kotigensi itu disalurkan kepada perkara yang lebih spesifik. Misalnya, perbanyakkan penerima bantuan one-off atau gunakan untuk beli komputer riba.

“Keempat, pengecualian pembayaran sewaan untuk rumah rakyat di bawah seliaan Kerajaan Negeri Sembilan dan rumah milik Majis Bandaraya Seremban sepatutnya dikecualikan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan iaitu sehingga hujung tahun ini. Mengapa hadkan hanya tiga bulan sahaja. Sedangkan dalam tempoh tiga bulan ini, sudah semestinya pandemik ini masih belum dapat diselesaikan. Bermakna rakyat masih akan sengsara. Perangkaan Kerajaan Persekutuan menerusi Pelan Pemulihan Negara pun meramalkan kita akan mencapai tahap keempat dijangka bermula hanya pada Disember ini. Jadi Kerajaan Negeri perlu realistik.

“Dan akhir sekali, pengecualian sewaan untuk gerai-gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu diberi hingga Disember. Bukannya hanya sebulan sahaja iatu pada Jun. Masih ramai peniaga kita sedang bergelut dengan masalah perniagaan mereka kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Kerajaan Negeri sepatutnya lebih sensitif. Bukannya hanya umumkan bantuan ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga,” ujarnya.

Justeru, tegas Zaidy Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengulangi desakan agar Kerajaan Negeri dapat memikirkan perancangan yang lebih efektif kerana ketika negeri lain rancak dengan pelbagai usaha membantu Kerajaan Persekutuan merentasi ideologi politik, tetapi di Negeri Sembilan, Kerajaannya lebih gemar menuding jari daripada mencari jalan bersama.

“Bertindaklah segera. Jika perlukan bantuan, demi rakyat dan negeri yang kami cintai ini, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan bersedia menghulurkan apa jua bantuan. Daripada segi tenaga sukarelawan hinggalah kepada idea-idea yang mungkin dapat membantu. Pada kami, yang penting adalah rakyat Negeri Sembilan. Itulah didikan UMNO kepada kami. Sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.