Dua Lokaliti Di Sabah, Satu Di Kelantan Dikenakan PKPD Mulai Ahad – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Tiga lokaliti, masing-masing dua di Sabah dan satu di Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini sehingga 3 Julai depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lokaliti yang terlibat ialah Grace Villa Condo, Sembulan di Kota Kinabalu dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan di Sabah serta Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, di Pasir Puteh, Kelantan.

Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penularan kes COVID-19 di lokasi terlibat berlaku dengan pantas dan kadar kebolehjangkitan juga tinggi.

“PKPD dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut selain membolehkan KKM menjalankan saringan komuniti, mengesan dan mengasingkan kes baharu serta melakukan pengesanan kontak dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat di Sabah dilanjutkan mulai Ahad hingga 3 Julai, berikutan masih terdapat penularan baharu direkodkan dalam kalangan komuniti dan masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan.

Ismail Sabri turut memaklumkan terdapat beberapa lokaliti PKPD ditamatkan hari ini dan esok, malah ada yang ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan, selepas terdapat penurunan kes COVID-19 dan kluster yang terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Di Sabah, PKPD di Taman Wawasan, Tawau, ditamatkan hari ini, manakala PKPD di Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni (Papar) serta Taman Wangsa, Jalan Telipok (Kota Kinabalu) tamat esok.

Turut ditamatkan esok seperti yang dijadualkan ialah lokaliti PKPD di Perak melibatkan Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah di Mukim Ulu Kinta, Kinta; Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar (Mukim Pengkalan Hulu), Kampung Alai dan Kampung Baharu (Mukim Kerunai) di Hulu Perak serta Taman Kerian Tambahan, Kerian dan Taman Berkat, Mukim Matang, Larut Matang Selama (LMS).

“PKPD di Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor dan Taman Pelangi, Semporna, Sabah ditamatkan hari ini, masing-masing lebih awal daripada yang dijadualkan pada 23 dan 28 Jun, manakala PKPD di Jalan Budi Sri Tanjung, Tawau dekat Sabah ditamatkan esok (dijadual tamat 22 Jun),” katanya.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di sektor perkilangan dan premis perniagaan, sebanyak 22,819 premis perniagaan dan 2,109 kilang diperiksa sejak 14 Jan sehingga kini.

Dalam tempoh itu, katanya sebanyak 160 kilang dan 17 premis bukan kilang diarahkan tutup berikutan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala bagi tempoh 1 Jun sehingga semalam, 106 kilang diarah tutup.

Sementara itu, seramai 759 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 711 daripadanya dikompaun dan 48 lagi direman, manakala bagi Op Benteng terdapat 37 pendatang tanpa izin ditangkap dengan sembilan kenderaan darat serta dua bot/kapal dirampas, semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.