Muslihat Kerajaan Elak Peranan Parlimen, Sampai Bila? – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 17 Jun – UMNO akan terus menggesa kerajaan agar mengadakan sidang Parlimen seperti yang dititahkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Ketua Penerangan, Shahril Hamdan.

Jelas beliau, apapun tarikh Parlimen bersidang ada suatu perkara yang wajar dibincangkan segera soal sama ada kerajaan akan sekali lagi mencari ruang untuk mengelak peranan sebenar Parlimen.

“Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan mengatakan: Apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu proklamasi darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut proklamasi itu dan, setakat yang undang-undang itu tidak dapat dibuat dengan sahnya jika tidak kerana perkara ini, apa-apa undang-undang yang dibuat semasa proklamasi itu berkuat kuasa, hendaklah terhenti berkuat kuasa, kecuali tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu.

“Pakar undang-undang mampu membahaskannya dan lebih terperinci. Adakah kepimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri sekali lagi akan menggunakan tafsiran paling mesra kepada agendanya untuk kekal berkuasa? Adakah akan berpaut kepada Ordinan Darurat jauh melangkaui 1 Ogos?

“Atau adakah kepimpinan kerajaan, selewat-lewatnya setelah darurat tamat, akan segera kembali menyerah kepada sistem demokrasi berparlimen termasuk dalam soal keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap perkara pokok seperti Belanjawan 2022?” soal beliau.

Tambah Shahril lagi, kenyataan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga menampakkan tiada kesungguhan ke arah itu.

“Kita akan terus menggesa agar Parlimen bersidang untuk membahaskan isu berkepentingan negara. Kalau tidak sekarang, Ogos apabila darurat tamat.

“Pelbagai pihak menekankan soal perlunya Parlimen bersidang segera sejajar dengan titah Seri Paduka Baginda semalam.

“Dibaca dengan kenyataan bertarikh 24 Februari dimana Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat

“Seterusnya, kenyataan Majlis Raja-Raja semalam yang jelas menyebut ‘kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di negara lain wajar diperkenal di negara ini’ jelas bahawa yang mengelak Parlimen adalah kerajaan bukan institusi lain,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.